Kerajaan sedia peruntukan besar kurangkan kemalangan di Sarawak

0

KUCHING: Kementerian Kerja Raya memberi keutamaan  kepada kawasan kerap kemalangan dengan menyediakan  peruntukan besar dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan di negeri ini.

Menterinya Datuk Fadillah  Yusof berkata kerja-kerja menaik taraf permukaan jalan dan lencongan di kawasan kerap kemalangan sedang giat dilaksanakan.

“Hasil kajian yang dijalankan  mendapati terdapat  banyak kawasan kerap kemalangan, sebab itu kita memberi fokus kepada usaha  mengurangkan kawasan kerap kemalangan ini dengan menyediakan peruntukan yang besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Ramadan  kepada 27 masjid dan surau di kawasan Petra Jaya di Masjid Al-Firdaus, Kampung Tunku di sini semalam.

Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata kawasan kerap kemalangan merupakan antara faktor penyumbang kepada jumlah kemalangan di negeri ini.

“Oleh itu, dengan usaha menaik taraf kawasan kerap kemalangan ini, kita dapat mengurangkan risiko berlakunya  kemalangan di kawasan  terbabit,” tambahnya.

Beliau menjelaskan untuk mengklasifikasikan sesuatu kawasan  sebagai kawasan kerap kemalangan, kawasan terbabit adalah menjadi tempat sering berlakunya kemalangan dalam keadaan dan penyebab yang sama tidak kurang daripada tiga insiden.

Menyentuh mengenai faktor  utama kemalangan, beliau  berkata, faktor manusia merupakan punca utama bukannya  keadaan jalan raya.

“Sikap pemandu kita yang tidak mematuhi had laju dan tergesa-gesa selain tidak memeriksa  keadaan kenderaan merupakan penyumbang utama kepada punca kemalangan,”  tegasnya.

Dalam perkembangan lain, Fadillah berkata kerja menaik taraf jalan utama iaitu Pan Borneo melibatkan laluan Miri-Bintulu, Bintulu-Sibu, Sri Aman-Serian termasuk Betong dilaksanakan secara berperingkat.

“Sebahagian daripada kerja-kerja menaik taraf Pan Borneo sudah dijalankan dan akan diteruskan pada 2014 dan sepanjang lima tahun akan datang yang dilaksanakan secara berperingkat, bergantung  kepada peruntukan yang diberikan.

“Kita di peringkat persekutuan  berusaha mendapatkan peruntukan dalam rolling plan keempat dalam Rancangan Malaysia Ke-10,” ujarnya.