
TANDA PENGHARGAAN: Lee (kanan) menyampaikan cenderamata kenangan kepada Wahab sebagai tanda terima kasih.
SARATOK: Menteri Muda Kemajuan Tanah Datuk Abdul Wahab Aziz berkata hubungan di antara komuniti dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan lebih terjalin dengan erat melalui pendekatan penganjuran sesuatu program yang melibatkan usaha bersama.
Katanya pendekatan seperti ini lebih efektif, terutama dalam usaha membanteras aktiviti jenayah yang melibatkan pelbagai perspektif dewasa ini.
“Contoh yang terbaik ialah seperti penganjuran majlis ini membawa masyarakat lebih dekat mengenali peranan pihak polis, yang bukan hanya sebagai ejen pembanteras jenayah, tetapi juga mempunyai tanggungjawab sosial kepada masyarakat.
“Seperti yang kita tahu, bukannya sesuatu yang mudah untuk masyarakat datang ke balai polis atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) sekiranya tiada urusan.
“Maka dengan adanya aktiviti seperti ini, ia mampu menjadi jambatan penghubung untuk pihak polis mendekatkan diri dengan masyarakat,” katanya pada Program PDRM Bersama Masyarakat (NKRA) Bersama Membanteras Jenayah di IPD Saratok, petang kelmarin.
Majlis berlangsung di Balai Polis Saratok dan dihadiri sekitar 150 orang terdiri daripada kakitangan PDRM serta para tetamu jemputan yang terdiri daripada masyarakat setempat yang merangkumi ketua masyarakat, warga emas dan wakil jabatan kerajaan.
Wahab yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka berkata, usaha membanteras jenayah akan lebih berkesan melalui penglibatan semua peringkat.
“Masyarakat harus sedar mereka mempunyai peranan penting dalam membanteras jenayah.
“Masyarakat tidak seharusnya berfikiran bahawa tanggungjawab membanteras jenayah itu terletak di tangan pihak polis, tetapi ia adalah tanggungjawab bersama.
“Penyaluran maklumat awal daripada masyarakat tentang aktiviti yang mencurigakan akan mampu memberi peluang dan ruang kepada pihak berkuasa membanteras sebarang aktiviti jenayah dengan pantas sebelum berlaku,” katanya.
Pada majlis yang sama, Wahab turut menyampaikan geran daripada Ahli Parlimen Saratok Tan Sri William Mawan Ikom kepada Persatuan Polis IPD Saratok berjumlah RM10,000.
Sementara itu, beliau turut menyumbang RM500 daripada Tabung Pendidikan ADUN Kalaka kepada Nielly Empiana, anak seorang anggota polis iaitu Koperal Dennil yang meninggal dunia beberapa tahun lepas.
Nielly Empiana adalah seorang pelajar tingkatan enam yang menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bahasa Malaysia Saratok.
Pada majlis itu, IPD Saratok turut menyampaikan sumbangan berupa bahan makanan kepada 44 orang warga emas dari daerah Saratok.
Hadir sama Ketua Polis Daerah (KPD) Saratok DSP Lee Thai Lein.