Lebuh India destinasi beli-belah paling popular

0

SIBUK DAN MERIAH: Orang ramai berebut-rebut memilih tudung untuk digayakan pada Hari Raya yang bakal tiba.

Meskipun banyak pusat beli-belah lain, ia tetap lokasi tumpuan masyarakat beli keperluan Hari Raya
KUCHING: Setiap tahun, Hari Raya Aidilfitri disambut meriah dan kebiasaannya berminggu-minggu sebelum perayaan tiba suasana persiapan menjelang Hari Raya telah dirasai terutama bagi yang beragama Islam.

Terdapat banyak pusat beli-belah yang menjual perhiasan dan kelengkapan Hari Raya berlumba-lumba untuk mengadakan promosi jualan murah sepanjang bulan Ramadan.

Meskipun pusat beli-belah tumbuh bagai cendawan selepas hujan di bandar raya ini, Lebuh India tetap menjadi lokasi tumpuan masyarakat di sini untuk membeli barangan keperluan Hari Raya terutama bagi mereka yang berpendapatan sederhana.

Terdapat pelbagai pilihan yang boleh didapati di Lebuh India, antaranya ialah baju kurung, baju Melayu, songkok, kuih-muih, biskut raya dan bermacam-macam lagi.

Baju raya adalah pilihan utama masyarakat Islam dalam melengkapkan persiapan raya mereka dan setiap tahun terdapat pelbagai rekaan baju Melayu dan baju kurung yang menjadi trend rebutan orang ramai.

Pelajar jurusan Kejuruteraan Elektronik Perubatan Politeknik Shah Alam Husnulkhatimah Asmadi, 25, ketika ditemui memberitahu, sudah menjadi kelaziman buat dirinya untuk membeli baju kurung di Lebuh India memandangkan dia jarang berkesempatan untuk menempah baju kurung.

“Di sini terdapat pelbagai baju kurung yang sudah siap serta cantik dan mengikut trend semasa, jadi tidak perlulah saya menempah baju kurung untuk Hari Raya kelak.

“Lagipun kos membeli kain termasuk upah menjahit adalah lebih kurang dengan kos membeli baju kurung yang sudah siap dijahit di sini, jadi saya memilih untuk membeli yang sudah siap sahaja,” katanya.

Manakala bagi pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Hafiq Kamaludin, 25, beliau berkata kebanyakan persiapan dilakukan pada saat akhir memandangkan dia sibuk bekerja.

“Saya lebih suka membeli barangan yang sudah siap, sebagai contoh baju Melayu dan hidangan kuih-muih untuk keluarga,” katanya.

“Di sini (Lebuh India) songkok ada, baju Melayu ada, baju kurung ada, kuih-muih pun ada. Apa nak dirisaukan semuanya mudah untuk masyarakat di sini,” ujarnya.

Kesibukan di Lebuh India cukup mendefinisikan persiapan Hari Raya di sini amat meriah di mana seawal jam 9 pagi lagi sudah ramai orang berpusu-pusu untuk membeli-belah di sini.

Bagi lima pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang berasal dari bahagian zon tengah dan zon utara Sarawak, pengalaman persiapan Hari Raya tahun ini agak berbeza memandangkan ini tahun pertama mereka mengadakan persiapan jauh dari keluarga masing-masing.

Menurut Nur’ Liana Kiplie, 18, daripada jurusan Pentadbiran Awam UiTM yang berasal dari Saratok, persiapan kali ini banyak dibeli di sini berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Tahun-tahun sebelum saya menyambung pengajian di sini, kami sekeluarga lebih banyak membuat persiapan sendiri tapi memandangkan sekarang saya ada di Kuching, ibu dan ayah memesan untuk membeli kek lapis dan baju raya di sini sahaja,” katanya kepada pemberita.

“Melihat kemeriahan di Lebuh India buat saya rasa teruja untuk menyambut Hari Raya tidak lama lagi dan saya semakin bersemangat untuk membeli-belah di sini,” kata Fatin Hazwani Kiplie, 18 yang juga berasal dari Saratok.

BAJU KURUNG: Baju kurung trend terkini turut menjadi tumpuan masyarakat di sini.

JUADAH: Antara juadah yang dijual di Lebuh India ialah kek lapis.

MERIAH: Lima pelajar UiTM turut tidak melepaskan peluang untuk membeli-belah di Lebuh India.