Saturday, February 29

Veteran ATM digesa daftar diri dengan PBTM

0

KUCHING: Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) digesa mendaftarkan diri dengan Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) agar tidak tercicir daripada menikmati bantuan yang disedikan oleh kerajaan.

Yang Dipertua PBTM Sarawak Spencer Birai berkata ramai kalangan veteran tentera masih belum mendaftarkan diri dengan persatuan meskipun pelbagai gesaan telah dibuat oleh persatuan.

Katanya selain menikmati pelbagai bentuk bantuan yang disediakan, pendaftaran dengan persatuan adalah saluran untuk membolehkan mereka disenaraikan sebagai penerima Pingat Jasa Malaysia.

“Tidak dinafikan ada di kalangan veteran yang mempersoalkan mengapa mereka tidak diberikan Pingat Jasa Malaysia seperti yang diterima oleh rakan-rakan mereka yang lain.

“Jika mereka tidak mendaftar dalam persatuan, kami tidak mempunyai maklumat mengenai mereka dan atas sebab itulah ada di kalangan mereka yang tercicir daripada menerima Pingat Jasa Malaysia.

“Sebab itu, saya mengingatkan veteran-veteran tentera supaya berdaftar dengan persatuan atau kelab-kelab veteran bukan sahaja untuk membolehkan mereka menikmati bantuan malah lebih penting meneruskan perjuangan menjaga keamanan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Ke-10 PBTM Cawangan Batu Kawa di sebuah restoran di sini semalam.

Sempena mesyuarat itu semalam, turut diadakan penyampaian Pingat Jasa Malaysia kepada 20 veteran tentera oleh Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM Mejar Jeneral Datuk Zulkiflee Mazlan.

Penerima terdiri daripada Renjer Dee Gindai, Sarjan Michael Deho Nuek, Koperal Alok Ae’Ong, Koperal Jong Hin Hiung, Koperal Patrick Nemok Awell, Koperal Edmund Pirang, Lans Koperal Dellin Anis, Sarjan Kinchang Tebing, Pegawai Waran II Dickson Mulu, Koperal Daga Jana, Sarjan Teddy Galang, Sarjan Muhan Kutong, Sarjan Ukoon Pungkok, Prebet Amin Bujang, Koperal Asing Ngelambong, Koperal Kamaraw Nowell, Sarjan Gruka Bujit, Pegawai Waran I Samson Spencer Tanggie, Sarjan Tamsun Tanggie dan Koperal Sarkawi Salleh.

Turut hadir Setiausaha Politik di Jabatan Perdana Menteri Mejar Bersara (B) Peter Runin, Pengarah JHEV Sarawak Leftenan Kolonel Monday Juhid, Ketua PBTM Cawangan Batu Kawa Kapten Bersara (B) Meran Ubong dan lain-lain.

Selain menyampaikan Pingat Jasa Malaysia, Zulkiflee turut menyampaikan sumbangan perayaan kepada 18 penerima yang masing-masing menerima RM500 seorang.