APMM komited kekang kegiatan jenayah

0

LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sabah dan Labuan akan terus komited mengekang kegiatan jenayah termasuklah di kawasan laluan tikus di sepanjang perairan negeri.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Mohd Amdan Kurish berkata kekuatan aset sebanyak 23 kapal dan 25 bot telah menghasilkan 1,260 tangkapan dan 20,059 pemeriksaan dari tahun penubuhan APMM mulai 2006.

“Manakala dalam tempoh Januari hingga Jun 2013, sebanyak 2,944 pemeriksaan telah direkodkan dengan mengesan 81 kes untuk tindakan tangkapan.

“Dalam tempoh itu juga, pendatang tanpa izin yang berjaya ditahan seramai 315 orang dengan 222 orang warga Filipina, Indonesia (52 orang) dan Vietnam (41 orang),” katanya kepada media ketika membuat lawatan dan berbuka puasa bersama pegawai dan anggota kapal maritim KM Banggi di perairan lahad Datu, di sini, kelmarin.

Menurutnya, penugasan anggota maritim di pantai Timur negeri ini tertumpu pada operasi mengesan dan membanteras aktiviti penyeludupan, kemasukan pendatang tanpa izin dan pencerobohan bot nelayan asing terutama di perairan persempadanan negara dengan negara Filipina dan Indonesia.

Katanya, perairan pantai Timur dari Sandakan hinggalah ke Tawau sememangnya luas dan bagi menyokong pelaksanaan pentadbiran Esscom, Maritim turut memperuntukkan tujuh kapal dan 10 bot peronda.

Untuk rekod, kadar jenayah hasil pemeriksaan dan tangkapan Maritim seluruh negara telah menurun daripada 48 peratus pada 2006 kepada 3 peratus sahaja pada 2012.

Sepanjang enam bulan pertama tahun ini pula kadar itu mencatatkan penurunan kepada 2.5 peratus.

“Prestasi Maritim yang berjaya mencatatkan pengurangan tangkapan kadar jenayah seluruh negara adalah kejayaan bersama termasuklah orang ramai semakin sedar dengan kesalahan jenayah khususnya kesalahan ketika berada di perairan untuk sebarang aktiviti,” katanya.

Pada tahun ini, sebanyak 39 bot nelayan asing telah ditahan dengan jumlah kutipan denda RM2.2 juta.

Sepanjang 2006 hingga kini, kesalahan bot nelayan asing mencatatkan 613 tangkapan bot dengan nilai kutipan denda RM219 juta.

Keseluruhan hasil yang telah dikutip Maritim sejak 2006 bernilau lebih kurang RM225 juta dan pelupusan bot-bot nelayan dianggarkan bernilai RM25 juta.

Untuk operasi mencari dan menyelamat pula, Maritim telah bertindak pantas dengan menyelamatkan 337 nyawa dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Nilai harta benda yang berjaya diselamatkan bernilai 526 juta untuk tempoh 2007 hingga Januari 2013.

Di wilayah Sabah dan Labuan pula, operasi mencari dan menyelamat mengendalikan 80 kes dengan 49 daripda 65 mangsa berjaya diselamatkan.