Bertuntung sebagai tarikan pelancong

0

KUCHING: Festival kebudayaan yang memaparkan tradisi bertuntung yang menandakan hari ke-27 Ramadan dan Lailatul Qadar akan dilancarkan di Dewan Datu Merpati Jepang pada 3 Ogos depan.

Dengan dianjurkan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sarawak, festival itu yang diadakan dalam skala besar dilihat mampu merancakkan industri pelancongan tempatan.

Pengarah JKKN Sarawak Salehhuddin Salleh berkata, pada masa sama festival tersebut dapat menggalakkan masyarakat tempatan untuk terus mengamalkan tradisi tempatan.

“Inilah peluang kita untuk mengetengahkan keindahan budaya dan tradisi Malaysia kepada dunia,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Menurutnya, JKKN akan memberi taklimat kepada pemain pelancongan dan pengusaha hotel tentang festival itu bagi menarik minat mereka untuk menyediakan pakej istimewa kepada pelancong.

“Selain menyaksikan budaya bertuntung dan diterangi lampu minyak tanah, pelancong dapat melihat sendiri integrasi komuniti yang terdapat di kampung tradisional,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, Malaysia merupakan contoh negara pelbagai kaum yang mengamalkan keamanan dan keharmonian.

Sementara itu, Salehhuddin menambah, pertandingan bertuntung yang merupakan sebahagian daripada festival akan melibatkan lapan kampung di kawasan Satok bermula 3 hingga 10 Ogos.

Pada masa sama, Persatuan Koordinasi Pelancongan Satok akan menganjurkan membuat ‘suntong tutok’.

Festival itu dijangka dilancarkan oleh Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg bersama Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof.