Klinik kesihatan akan dibuka di RGC Opar

0

KUCHING: Sebuah klinik kesihatan akan dibuka di Pusat Pertumbuhan Luar Bandar (RGC) Opar bagi memudahkan penduduk khususnya dari Zon Stungkor mendapatkan rawatan ringan dan kecemasan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar Ranum Mina berkata, rancangan untuk membuka klinik tersebut telah dikemukakan pada Persidangan DUN yang lepas.

Bagaimanapun katanya, rancangan untuk membuka klinik tersebut hanya dapat dilaksanakan apabila fasa kedua RGC berkenaan dimulakan kelak.

“Rancangan untuk membuka sebuah klinik di RGC Opar memang ada malah saya turut memohon kepada kerajaan agar dibuka sebuah balai polis di sini bagi meningkatkan lagi tahap keselamatan penduduk.

“Bagaimanapun setakat ini, dua kemudahan penting ini iaitu klinik kesihatan dan balai polis hanya dapat dilaksanakan apabila fasa kedua RGC Opar dimulakan nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi semalam bagi mengulas masalah yang disuarakan oleh penduduk dari zon berkenaan menerusi laman sosial semalam.

Zon Stungkor meliputi 10 kampung iaitu Kampung Selampit, Bitokan, Raso 1 dan Raso 2, Stungkor Lama dan Stungkor Baru, Simpang Bokah serta Bokah, Siluk dan Stum Muda.

Mengulas lebih lanjut mengenai RGC Opar, Ranum berkata, kerja-kerja pelaksanaan fasa pertama melibatkan pembinaan jalan akses telah siap dilaksanakan dengan menelan kos RM10 juta termasuk bayaran pampasan tanah.

Untuk fasa seterusnya, iaitu fasa kedua ia akan melibatkan kerja-kerja pembinaan kemudahan dan fasiliti seperti premis perniagaan dan kemudahan-kemudahan lain termasuk klinik kesihatan dan balai polis.

Bagaimanapun jelas Ranum, fasa kedua RGC Opar belum dapat dimulakan buat masa ini susulan kekangan peruntukan yang masih dalam permohonan oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang. Dalam perkembangan berkaitan, Ranum berkata tujuh daripada 10 kampung dalam Zon Stungkor telah disalurkan dengan bekalan air bersih manakala tiga lagi kampung iaitu Siluk, Bitokan dan Selampit masih menunggu pemasangan tangki besar.

Pada masa sama, Ranum memberitahu bahawa perbincangan sedang dilakukan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk memanjangkan lagi saluran bekalan air bersih ke kawasan lain di bawah Opar.

“Sistem perpaipan yang dipasang oleh JKR setakat ini adalah sehingga Jambatan Batang Kayan, Lundu sahaja tetapi saya telah mengusahakannya untuk memanjangkan lagi saluran bekalan air bersih ini sehingga ke kawasan Tembaga, Sebako dan seterusnya ke Opar,” katanya.