Sunday, July 5

Mayat dua beradik ditemui di perairan Sipitang

0

LABUAN: Mayat dua nelayan yang hilang sejak Sabtu lalu ditemui di pesisiran pantai Kampung Pelakat, Sipitang kelmarin pada jam 9 pagi.

Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah, Komander (M) Che Adnan Md Isa berkata kedua-dua mangsa merupakan adik-beradik dan dikenalpasti sebagai Saban Latip berumur 32 tahun dan adiknya, Amran Latip, 30.

“Kedua-dua mayat itu ditemui dalam keadaan terapung di sekitar pesisiran pantai berhampiran lokasi kejadian.

“Kedua-dua mangsa seterusnya digegaskan ke Hospital Sipitang dengan bantuan pasukan bomba dan penyelamat,” katanya.

Sebelum itu, adik beradik terbabit telah turun ke laut pada Sabtu lalu jam 6.30 petang untuk memancing di perairan Pulau Daat di sini.

Menurut laporan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), bot yang digunakan oleh mangsa ditemui oleh nelayan tempatan, namun kedua beradik itu gagal ditemui.

Kedua-dua mangsa itu dikhuatiri lemas disebabkan oleh cuaca buruk pada ketika itu.

APMM telah menghentikan operasi mencari dan menyelamat pada jam 10 pagi kelmarin.