Ops Letup IV dilancar

0

JANATHAN (dua kanan) bersama Hamzah (dua kiri) dan Azizulkifli (kanan sekali) menunjukkan antara mercun serta bunga api yang berjaya dirampas dalam serbuan di Kolombong baru-baru ini.

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menjangka akan terus memperolehi penurunan memberangsangkan bagi kesalahan membabitkan mercun dan bunga api pada musim perayaan di negeri ini.

Setakat tempoh tujuh bulan pertama, JKDM hanya memperoleh 18 kes dengan melibatkan nilai pasaran sebanyak RM229,452 dan penurunan terbabit dijangka berterusan dengan pelancaran Ops Letup IV yang dilancarkan kelmarin.

Operasi yang dilaksanakan saban tahun bermula 2011 itu turut membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan membabitkan pemeriksaan di sekitar kawasan perumahan dan kampung di Kota Kinabalu, Penampang dan Tuaran.

Pengarah JKDM Sabah, Datuk Janathan Kandok berkata berbanding dengan jumlah dan hasil tangkapan pada tahun lepas iaitu 79 kes dengan melibatkan nilai RM1.7 juta, sasaran penurunan yang lebih drastik akan berjaya dicapai buat tahun ini.

“Jumlah itu dianggap berkurangan berbanding 79 kes yang membabitkan nilai sebanyak RM1.7 juta sepanjang tempoh tahun lalu dan kita berada di landasan baik untuk mengekalkan prestasi mengurangi indeks berkenaan.

“Antara faktor yang menyebabkan kekurangan itu adalah keberkesanan penguatkuasaan, siri Ops Letup yang lepas termasuklah kesedaran orang ramai mengenai bahaya bermain mercun,” katanya pada sidang media di sini kelmarin.

Hadir sama, timbalan beliau, Hamzah Sundang dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Kota Kinabalu, Deputi Superitendan Nor Azizulkifli Mansor.

Sementara itu dalam kes terbaru, JKDM berjaya merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai lebih RM50,000 dalam satu serbuan di rumah teres berhampiran Kolombong pada 24 Julai lepas.

Dalam serbuan berlaku sekitar jam 11.15 pagi itu, menyaksikan seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun ditahan kerana disyaki menjual barangan larangan berkenaan.

“Ia merupakan hasil risikan bersama pihak polis selama beberapa hari ekoran kegiatan mencurigakan di rumah terbabit.

“Siasatan awal mendapati ianya akan diedarkan kepada para penjual kecil di bandaraya ini,” katanya sambil menambah, ia adalah kes pertama sepanjang tempoh bulan Ramadan ini.

Beliau berkata, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.