Tuesday, September 17
September 16

Pembinaan sebuah Balai Bomba dan Penyelamat Batu Niah tahun depan

0

MIRI: Projek pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat Batu Niah yang bernilai RM12 juta di lokasi Lot 745 Block 15, Niah Land District akan bermula tahun depan.

Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang (gambar) berkata, permintaan untuk pembinaan balai bomba terbabit telah dibuat sejak beberapa tahun lalu berikutan ia keperluan penting di kawasan luar bandar.

“Kos pembinaan Balai Bomba Batu Niah yang bernilai RM12 juta masing-masing melibatkan pembinaan bangunan, jentera bomba dan peralatan pemadam api,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, kejadian kebakaran di kawasan luar bandar khasnya di kawasan Sibuti sukar dipadamkan berikutan faktor jarak antara Balai bomba Miri ke lokasi kejadian.

“Saya berharap dengan adanya Balai Bomba Batu Niah ini, maka akan menyelesaikan masalah kebakaran yang sering berlaku di kawasan luar bandar terutama pada musim kering,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau berharap penduduk di kawasan Sibuti bersabar sementara pembinaan balai bomba berkenaan yang akan dilaksanakan bermula tahun depan.

“Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah meluluskan permohonan untuk membina Balai Bomba Batu Niah dan akan bermula tahun depan,” ujarnya.

Ahmad Lai berkata, projek terbabit dijangka akan siap pada 2016 seterusnya menyelesaikan masalah kebakaran serius di kawasan luar bandar.

Sementara menunggu pembinaan Balai Bomba Batu Niah dilaksanakan, dua Pasukan Sukarelawan Bomba telah ditubuhkan masing-masing di Bekenu dan Niah bagi tujuan keselamatan.

“Kedua-dua pasukan itu ditubuhkan sebagai pasukan awal ke lokasi kejadian bagi memadam kebakaran sementara menunggu ketibaan jentera bomba dari Miri,” katanya.

Menurutnya, dengan adanya Pasukan Sukarelawan Bomba terbabit, sekurang-kurangnya dapat menyelamatkan kerosakan harta benda orang ramai jika berlaku kebakaran.