Polis tangkap dua beranak miliki senapang angin

0

ROBERT (tengah) menunjukkan dua laras senapang angin. Turut kelihatan Lee (kanan) dan Azizi.

KENINGAU: Polis menangkap dua beranak disyaki memiliki dua laras senjata senapang angin di sebuah rumah di sebuah kampung di Tambunan.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superitendan Robert Salisip @David berkata kedua-dua suspek adalah lelaki tempatan berumur 14 dan 45 tahun.

Katanya, pada 24 Julai kira-kira 12.30 petang, bertempat di sebuah kampung dalam daerah Tambunan, tiga anggota polis telah pergi ke rumah suspek.

Ketika membuat pemeriksaan di sebuah bilik dalam rumah itu katanya, polis telah menemui dua laras senapang angin. Kedua-dua suspek yang merupakan anak dan bapa telah ditangkap dan senapang angin turut dirampas.

“Kedua-dua suspek dan senjata terbabit dibawa ke Balai Polis Tambunan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Robert memberitahu kes itu disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 dan jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-dua sekali.

Pada masa sama, beliau juga meminta seorang gadis warga Filipina, Glennya Jenn Hamja agar dapat datang ke Ibu Pejabat Daerah Polis Keningau untuk membantu siasatan dan menjadi saksi di mahkamah berhubung kes mengikut Sekyen 302/394 Kanun Keseksaaan.

Katanya, polis juga meminta agar Glennya Jenn pemegang Passport No:SS 0558803 dapat datang ke Balai Polis Daerah Keningau atau mana-mana balai polis yang berhampiran.

Robert juga meminta orang ramai yang mengenali dengan Glennya Jenn agar dapat menghubungi polis melalui telepon: 087-332222.

Hadir sama di sidang media itu ialah Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, ASP Lee Nyuk Kim dan Pegawai Penyiasat, Inspektor Azizi Abdul Rahman.