
TERIMA KASIH: Jabah (dua kanan) menerima sumbangan Yayasan 1MDB daripada Law (dua kiri) untuk anaknya, Mcloie (kanan) dan Azura (kiri) semalam.
KUCHING: Anak mendiang DSP Michael Padel yang terkorban dalam serangan pengganas Sulu di Lahad Datu, McLoie Michael, 11, berhasrat meneruskan perjuangan bapanya sebagai anggota polis.
Beliau dalam kenyataan akhbar semalam dipetik menyebut mahu menjadi “seperti bapa saya”.
McLoie merupakan satu-satunya anak kepada anggota polis DSP Michael Padel yang terbunuh ketika pencerobohan bersenjata di Lahad Datu Mac lalu.
Ibu McLoie, Jabah Mingku, 33, tidak berminat dengan ideanya untuk menjadi seorang anggota polis tetapi tetap menyokong cita-cita anaknya itu.
“Kebimbangan utama saya adalah kos persekolahan McLoie untuk meneruskan pelajaran ke menara gading nanti,” katanya.
Jabah berasal dari Simunjan tinggal bersama ibu mendiang Michael yang sudah tua di Kampung Tebakang Bidayuh, Serian.
“Saya berterima kasih atas sokongan yang diberikan oleh semua orang, termasuk 1MDB, untuk memastikan McLoie dapat meneruskan pendidikannya walaupun tragedi menimpa keluarga kami,” katanya.
Sumbangan 1MDB (1Malaysia Development Berhad) baru-baru ini menyerahkan cek RM15,000 kepada McLoie bagi membantunya meneruskan pendidikan.
Penyerahan dilakukan dalam satu majlis ringkas di Ibu Pejabat Polis Sarawak di sini.
Turut hadir Timbalan Pesuruhjaya Sarawak Polis Datuk Law Hong Soon.
Naib Presiden Kanan Tanggungjawab Sosial Korporat 1MDB Azura Annuar berkata, ini merupakan satu inisiatif untuk memastikan anak-anak anggota polis yang terkorban akan dapat meneruskan pelajaran mereka tanpa kebimbangan.
“Bagi kami, pendidikan adalah keutamaan. Kami berharap sumbangan kecil kami akan pergi jauh ke arah memastikan bahawa persekolahan McLoie dapat diteruskan tanpa masalah, “ katanya.
Bagi McLoie, pelajar Tahun Lima SK Tebakang, rancangan terdekatnya adalah untuk mendapatkan semula tempat pertama dalam kelas.
“Saya sentiasa di lima teratas dalam kelas pada tahun-tahun sebelumnya, tetapi gred saya menurun sedikit apabila bapa saya meninggal dunia dan kami cukup terganggu dengan kejadian itu.
“Sekarang saya telah berpindah ke sekolah baharu, saya mahu mengejar (pencapaian rakan) supaya saya dapat memenuhi impian saya untuk menjadi seorang pegawai polis,” katanya.
Selain daripada McLoie, Yayasan 1MDB juga memberi bantuan pendidikan kepada 18 kanak-kanak daripada enam keluarga lain anggota polis yang terjejas susulan kejadian Lahad Datu, berjumlah RM360, 000.