Pendidikan modal penting bagi mengubah masa depan: Dr Rayong

0

ENGKILILI: Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Engkilili Dr Johnnical Rayong Ngipa memberitahu bahawa pendidikan adalah modal yang cukup penting bagi mengubah masa depan seseorang individu.

Menurutnya, dunia pada masa akan datang mungkin menuntut semua orang memiliki prestasi akademik yang tinggi untuk membolehkan mereka berjaya dalam hidup.

Senario ini sekali gus menyedarkan penduduk bahawa pendidikan merupakan satu keperluan penting dalam hidup dan tidak seharusnya dilepaskan setiap orang, katanya.

“Dengan kata lain anak muda kita pada masa sekarang harus serius ketika menimba ilmu di bangku sekolah kerana jika gagal mereka akan ketinggalan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Merarau sempena Ngiling Bidai anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Betok, Simpang Jenggin di Balai Raya Skim Skrang, di sini, Sabtu lalu.

Pada majlis itu Dr Rayong mengumumkan peruntukan projek kecil luar bandar (MRP) berjumlah RM10,000 kepada JKKK Rumah Betok, Simpang Jenggin dan RM5,000 untuk Biro Wanitanya.

Sementara itu Dr Rayong berpesan kepada semua JKKK di DUN Engkilili agar memanfaatkan peranan yang ada untuk memastikan pentadbiran serta proses pembangunan dalam penempatan rumah panjang berterusan dari semasa ke semasa.

Beliau berkata, kejayaan JKKK melaksanakan peranan mereka sebagai sebuah jawatankuasa pentadbiran peringkat rumah panjang yang sah mampu menentukan masa depan pembangunan di rumah panjang masing-masing.

JKKK adalah sebuah jawatankuasa pentadbiran peringkat rumah panjang yang diiktiraf oleh kerajaan negeri khusus bagi membantu kerajaan melicinkan pelbagai perkara berhubung pentadbiran dan pembangunan di rumah panjang, katanya.

Sekiranya JKKK gagal melaksanakan peranan mereka dalam usaha memajukan rumah panjang ia akan ketinggalan berbanding rumah panjang yang mempunyai JKKK yang berperanan lebih baik, tambahnya.