Naik taraf Pan Borneo perlu lebih RNR

0

UTAMAKAN KESELAMATAN: Seorang pegawai JKJR Negeri membantu memasang tali pinggang keselamatan kepada penumpang sebuah bas ekspres di Kuching Sentral, malam kelmarin. — Gambar Chimon Upon

KUCHING: Kerja menaik taraf Lebuh Raya Pan Borneo harus dilengkapi dengan pembinaan lebih banyak stesen Rehat dan Rekreasi (RNR), kata Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Negeri Davina Enteli.

“Isu mengenai lebih banyak RNR di sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo sering dibangkitkan dalam mesyuarat Amerika dengan Kementerian Kerja Raya Persekutuan dan Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Komunikasi Negeri.

“Kita akan berusaha untuk melaksanakannya (RNR),” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya di Terminal Bas Ekspres Kuching Sentral di sini, malam kelmarin.

Menurut Davina, pada masa sekarang, hanya terdapat tiga RNR di sepanjang laluan Pan Borneo iaitu di persimpangan Sri Aman, Jelukong dan Niah.

“Dari segi kemudahan asas seperti tandas dan gerai makan, standard kawasan rehat ini jauh ketinggalan berbanding dengan di Semenanjung,” katanya.

Beliau turut menjelaskan RNR di Semenanjung dikendalikan oleh pemegang konsesi tol, manakala di Sarawak diusahakan oleh pemilik swasta atau di bawah Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR).

Justeru, katanya, RNR adalah penting kerana memberi peluang kepada pengguna jalan raya untuk berehat sebelum meneruskan perjalanan yang jauh.

“Penyediaan RNR adalah perlu kerana pemandu harus berehat selepas memandu lebih dua jam atau sejauh 150 kilometer,” katanya.

Sementara itu, sempena kempen tersebut, Davina berkata, penumpang bas digalakkan untuk mengambil gambar atau video bagi bukti kesalahan pemandu bas.

Bukti itu, katanya, boleh die-melkan ke laman sesawang JKJR atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk tindakan lanjut.

Menurut Penolong Pengarah JKJR Negeri Redzuan Hamdan, JKJR telah mengenal pasti bahawa kebanyakan kemalangan maut berpunca daripada sikap pemandu.

“Tidak dinafikan keadaan jalan raya adalah penyumbang kepada faktor kemalangan, tetapi perubahan sikap pemandu untuk lebih berhati-hati dan waspada merupakan kunci perubahan kepada kemalangan.

“Pemandu harus berwaspada jika hendak memotong kenderaan lain dan berehat selepas memandu selama dua jam,” katanya.