Najib gembira dengan sambutan pelbagai lapisan masyarakat

0

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan kegembiraannya apabila ramai masyarakat pelbagai kaum dan latar belakang mengunjungi rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Jemaah Menteri di Seri Perdana di sini kelmarin.

“Saya berasa sangat bersyukur bahawa sambutan ini begitu meriah. Saya rasa amat gembira kerana mereka yang datang ini datang daripada pelbagai latar belakang.

“Konsep rumah terbuka ini sebagai satu kaedah, satu jambatan yang boleh memupuk perpaduan nasional. Nampaknya hari ini (kelmarin) terbukti bahawa bila kita buat rumah terbuka ini ia boleh menjadi satu acara di mana secara spontan kita boleh dapat (lihat) begitu ramai yang akan datang,” katanya ketika ditemu bual secara langsung oleh TV3.

Turut bersama ketika temu bual itu isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Ditanya sama ada majlis rumah terbuka boleh dijadikan sebagai satu platform untuk penyatuan nasional, Najib berkata penyatuan nasional boleh diusahakan melalui pelbagai cara dan rumah terbuka merupakan satu daripadanya.

“Selain daripada kita sambut rumah terbuka ini, kita nak juga hati kita terbuka maknanya kita tolak fahaman yang sempit, yang fanatik, yang ekstrem, yang keterlaluan. Kita suka kepada keamanan, kedamaian sebab bila kita ada keamanan, kedamaian dan keharmonian kita boleh mengadakan rumah terbuka, dan suasana seperti inilah yang mesti kita kekalkan sepanjang masa,” katanya.

Dalam temu bual singkat itu, Perdana Menteri turut ditanya mengenai kes jenayah tembak yang ketara sejak akhir-akhir ini sehingga menimbulkan kebimbangan rakyat.

“Kita dah arah pihak polis untuk bertindak dengan apa cara sekalipun yang mampu dilakukan mereka supaya membanteras jenayah berat ini terutama sekali yang menggunakan senjata api,” katanya. — Bernama