Friday, July 10

Orang ramai teruja hadiri rumah terbuka Yang di-Pertuan Agong

0

SELAMAT HARI RAYA: Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Haminah berkenan bersalaman bersama para tetamu yang hadir pada Majlis Ramah Mesra bersama Dif-dif Kenamaan Perwakilan Asing, Kerabat dan Sahabat sempena Hari Raya di Istana Negara di Kuala Lumpur kelmarin. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Cuaca panas terik tidak menghalang lebih 20,000 orang termasuk pelancong asing daripada menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat sempena Rumah Terbuka Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Haminah di pekarangan Istana Negara di sini kelmarin.

Ada yang mula membanjiri Istana Negara sejak jam 9 pagi walaupun majlis hanya bermula pada jam 11.30 pagi.

Mereka tidak melepaskan peluang untuk bersalaman dengan Seri Paduka Baginda berdua yang turut berkenan menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak dan bungkusan kuih raya kepada hadirin.

Seorang pelancong dari Lancaster, United Kingdom, Rotimi Keshinro, 20, melahirkan rasa teruja dapat hadir buat kali pertama ke majlis seumpama ini di Istana Negara.

“Ini pertama kali saya ke sini dan bertemu Agong. Saya sangat gembira berada di sini,” katanya yang sedang bercuti bersama ibunya.

Seorang rakyat Jepun yang bekerja sebagai pensyarah bahasa Jepun di Universiti Malaya, Morimoto Shinichi pula berkata pengalaman beliau berjumpa Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong  merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakannnya.

Roslina Akib, 40, dari Banting menyifatkan sambutan raya kali ini paling istimewa baginya kerana berpeluang memasuki istana dan bersalaman dengan Seri Paduka Baginda.

“Asalnya saya beratur bersama orang lain. Tetapi apabila ada yang menyedari suami saya M Ahamad Noti, 46, adalah OKU, mereka bawa kami melalui laluan lain.

“Saya tidak pernah bermimpi dapat menjejak kaki ke dalam istana dan memang saya kagum dengan keindahan seni hias istana. Cukup semuanya diabadikan dalam kenangan,” katanya.

Bagi guru Tadika dari Petaling Jaya, S. Vasantha Kumari, 46, beliau terpanggil untuk membawa dua anaknya yang berusia 10 dan 12 tahun menghadiri majlis ini supaya mereka dapat melihat semangat muhibah yang diamalkan masyarakat di Malaysia semasa menyambut sesuatu perayaan.

“Saya juga bertuah kerana dapat bersalaman dengan ketua negara dan ini sepatutnya dilakukan oleh semua ibu bapa supaya golongan muda faham akan sistem pemerintahan negara kita,” katanya.

Pasangan adik-beradik Mohd Fadli Azwan, 20, dan Nur Fadlina, 18, sanggup datang ke istana selepas menunaikan solat Aidilfitri di Shah Alam bagi meneruskan tradisi mereka berhari raya bersama orang kenamaan.

“Tahun lepas kami juga datang ke rumah terbuka istana. Selepas ini kami akan ke rumah terbuka Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya pula,” katanya.

Foo Thim Soong, 60, pula mula beratur sejak jam 10 pagi dan gembira apabila akhirnya dapat berjumpa Seri Paduka Baginda kira-kira sejam kemudian. — Bernama