Monday, August 10

Mangsa kebakaran tidak mampu bayar deposit rumah PPR

0

Jaunic membuat pemeriksaan terhadap kanak-kanak.

SANDAKAN: Rata-rata mangsa yang terlibat dalam kebakaran 1 Syawal lepas di Kampung Cenderamata Batu Sapi tidak mempunyai kemampuan untuk membawa deposit bagi menyewa rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) yang disediakan oleh kerajaan.

Mangsa-mangsa kebakaran meluahkan ketidakmampuan mereka untuk menyewa rumah PPR yang pada mulanya terpaksa membayar deposit sedangkan rata-rata mereka adalah nelayan dan baharu ditimpa bencana.

Ketua Kampung Cenderamata, Normah Abu Gaffar, 63, yang mewakili mangsa kebakaran itu berkata kebanyakan mangsa kebakaran bekerja sebagai nelayan.

“Mereka tidak berkemampuan untuk membayar deposit bagi menyewa rumah PPR berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, rata-rata mangsa telah meluahkan ketidakmampuan mereka itu kepadanya untuk menyewa rumah PPR itu berdasarkan pendapatan rendah.

Dalam pada itu, Normah akan mencuba untuk mengemukakan permohonan kepada pihak kerajaan untuk mendapatkan status kampung bagi wujudkan perkampungan.

“Buat masa ini, terdapat 530 buah rumah dan lebih 3,000 penduduk menetap di kampung ini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan meminta bantuan wakil rakyat untuk mendapatkan peralatan membina rumah sebagai ringankan beban mangsa yang terlibat.

“Adalah menjadi tanggungjawab wakil-wakil rakyat ini untuk pastikan nasib rakyat di kawasan masing-masing terbela,” katanya.

Sementara itu, seramai 121 orang mangsa kebakaran mendapatkan rawatan semasa lawatan Jabatan Kesihatan Daerah Sandakan ke tapak penempatan sementara di Kampung Cenderamata Batu Sapi, pagi kelmarin.

Penolong Pegawai Perubatan Jabatan Kesihatan Sandakan, Jaunic Solom berkata pihaknya telah memeriksa 121 orang mangsa kebakaran yang datang untuk mendapatkan rawatan.

“Tahap kesihatan mangsa agak baik dan tiada yang menghadapi penyakit berjangkit,” katanya ketika ditemui selepas membuat rawatan di lokasi kebakaran itu.

Beliau berkata, hanya beberapa orang yang mendapatkan rawatan batuk, selesema dan luka-luka kecil.

Manakala, Pegawai Kebajikan Masyarakat Sandakan, Kasrin Atchil memberitahu bantuan makanan selama tiga hari diberikan kepada mangsa-mangsa kebakaran.

“Buat masa ini, Jabatan Kebajikan salurkan bahan mentah seperti beras dan lauk untuk dimasak di rumah ketua kampung bagi makanan mangsa kebakaran,” katanya.

Kasrin berkata, laporan terkini menunjukkan seramai 87 ketua keluarga dari 70 buah rumah yang terlibat dalam kebakaran itu.