Sepasang kekasih dicekup polis dalam kes samun

0

CHANDRA (tengah) menunjukkan barangan yang telah dirampas polis dalam serbuan itu di pejabatnya kelmarin.

KOTA KINABALU: Polis memberkas sepasang kekasih di sebuah bilik hotel berhampiran Pekan Tanjung Aru, setelah didapati terlibat dengan kes samun bersenjata di sini pada malam Khamis lepas.

Difahamkan kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 25 dan 21 tahun itu terbabit dengan kejadian samun di pangsapuri Taman Taman Sri Warisan, Inanam membabitkan seorang lelaki yang merupakan ahli perniagaan dalam insiden berlaku sekitar jam 2 pagi berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Kota Kinabalu, Superitendan M Chandra berkata pasangan itu ditahan di dalam bilik berkenaan kira-kira jam 11.30 pagi setelah pendaftaran masuk ke hotel itu dengan menggunakan kad kredit milik mangsa.

“Bertindak di atas maklumat dalam tempoh 24 jam, sepasukan polis telah menyerbu bilik hotel disewa oleh suspek dan kita berjaya menahan seorang lelaki serta seorang wanita yang dipercayai terlibat dengan kejadian samun itu.

“Hasil siasatan lanjut, difahamkan salah seorang daripada mereka terlibat dengan samun itu sementara kekasihnya pula difahamkan bersubahat dalam insiden terbabit,” katanya sambil menambah, pihaknya masih memburu seorang lagi suspek yang turut terlibat.

Chandra berkata, dalam insiden berlaku pada 7 Ogos lepas itu, mangsa yang berusia 48 tahun telah kerugian hampir RM8,000 dalam insiden itu setelah dompet serta telefon bimbit miliknya disamun oleh dua lelaki tidak dikenali dan bertopeng dalam kejadian itu.

Menurutnya ketika itu, mangsa baru sahaja pulang ke rumahnya dan sebaik berada di perkarangan pintu utama, dia telah didatangi oleh dua lelaki tidak dikenali dan dipercayai memakai penutup muka untuk mengelak daripada dikenali.

“Hasil maklumat pengadu, suspek telah bertindak mengacukan pisau ke arah lehernya sementara seorang lagi mengeluarkan sejenis alat dipercayai selaras pistol yang diacukan ke bahagian badan mangsa.

“Kedua-dua suspek kemudiannya merampas dompet dan telefon bimbit mangsa sebelum melarikan diri dengan menggunakan sebuah Proton Saga yang menunggu mereka di bawah pangsapuri berkenaan.

“Bagaimanapun, dua daripada tiga suspek yang terlibat dalam kejadian itu berjaya dicekup dengan tangkapan pasangan kekasih terbabit di sebuah hotel berhampiran Pekan Tanjung Aru,” katanya.

Chandra berkata, hasil pemeriksaan lanjut di bilik hotel disewa suspek itu telah membawa penemuan beberapa barangan di antaranya replika senjata dipercayai sepucuk pistol palsu, rantai besi, sebilah pisau lipat dan berbelas kad yang kesemua difahamkan hasil daripada aktiviti samun berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.