Tuesday, November 12

Warga asing mati ditetak menantu

0

MANGSA yang ditemui mati akibat ditetak dari bahagian belakang dalam insiden berkenaan.

KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga asing mati akibat ditetak oleh anak menantunya sendiri dalam satu kejadian di sebuah rumah kongsi berhampiran Batu 10, Jalan Tuaran Bypass di sini malam kelmarin.

Dalam kejadian sekitar jam 12.40 malam itu mangsa berusia 40an mati di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah di bahagian tengkuk belakangnya dipercayai dilibas menggunakan parang.

Ketika insiden itu, mangsa dikatakan tinggal bersama suspek berusia 20an serta isterinya,14, dan anaknya yang berumur dua minggu.

Isteri suspek difahamkan merupakan anak angkat kepada mangsa semenjak kecil memandangkan mangsa dan isterinya tidak mempunyai anak.

Timbalan Ketua Polis Kota Kinabalu, Superitendan M Chandra berkata hasil siasatan awal pihaknya mendapati suspek dikatakan berang dengan tingkah laku bapa mertuanya itu setelah kerap kali ‘menggangu’ isterinya.

Difahamkan suspek gagal menahan marah terhadap mangsa yang merupakan pengendali jentolak berat itu kerana sering melakukan gangguan seksual terhadap isterinya selama ini.

“Menurut laporan pengadu yang juga merupakan isteri mangsa, ketika dia pulang ke rumah setelah melawat jirannya yang sakit dia berasa curiga setelah mendapati rumah mereka bergelap.

“Namun isteri mangsa terkejut sebaik lampu rumah dibuka, kelihatan tubuh suaminya dalam keadaan berlumuran darah dan tertiarap di tilam,” katanya sambil menambah, isteri mangsa kemudiannya bertindak melaporkan kejadian itu di Balai Polis Menggatal.

Hasil bedah siasat ke atas badan mangsa, terdapat satu kesan tetak di bahagian tengkuknya yang telah mengakibatkan saraf tunjang leher mangsa terputus selain libasan di bahu kanan.

Mengulas lanjut mengenai kejadian itu, Chandra berkata suspek bertindak melarikan diri menggunakan sebuah motosikal bersama isteri dan anaknya menuju ke sebuah kawasan di Telipok.

“Operasi mengesan suspek telah dilaksanakan dan motosikal yang dinaiki mereka telah ditemui berhampiran Telipok namun ketiga-tiga mereka masih belum ditemui,” katanya.

Chandra dalam pada itu menggesa orang ramai yang menyaksikan dan mempunyai sebarang maklumat untuk segera tampil ke mana-mana balai terdekat atau hubungi talian 088-242111.

“Suspek dikenali sebagai Azmi, berusia 20an dikatakan tiada sebarang dokumen,” katanya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.