Mayat lelaki warga asing ditemui dengan kesan luka

0

KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga asing ditemui mati dengan kesan luka di leher dan bahu di kediamannya berhampiran pekan Menggatal kira-kira 16 kilometer dari sini kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Kota Kinabalu Supt M. Chandra berkata mangsa ditemui mati berlumuran darah oleh isterinya pada jam 12.30 pagi Ahad.

“Mangsa seorang pengendali mesin, berumur 40 tahun. Polis kini mencari seorang warga asing dalam lingkungan umur 20-an, yang berkahwin dengan anak perempuan mangsa berumur 14 tahun untuk membantu siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kota Kinabalu di sini semalam.

Chandra berkata, suspek kali terakhir dilihat meninggalkan motosikalnya di pekan Telipok bersama isteri dan anak mereka yang baharu lahir.

“Berdasarkan maklumat yang diberikan oleh saksi, mangsa sebelum ini ‘diganggu’ oleh isteri suspek yang juga anak tiri mangsa dan motif pembunuhan adalah disebabkan dendam,” katanya. — Bernama