Tuesday, October 15

Tiada pertempuran di Lahad Datu

0

LAHAD DATU: Ketua Pengarah Kawasan Kese-lamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Datuk Mohammad Mentek semalam  menafikan laporan media Filipina kononnya lapan anggota tentera Malaysia terbunuh dalam pertempuran dengan pengganas di Lahad Datu baru-baru ini.

Sambil menyifatkan ke-nyataan kumpulan yang mendakwa kesultanan Sulu di akhbar negara itu baru-baru ini sebagai propaganda dan tidak berasas, beliau berkata sejak gerakan ofensif pasukan keselamatan terhadap pengganas Sulu yang menceroboh Kampung Tanduo di sini Februari lepas, tiada pertempuran lain antara pasukan keselamatan Malaysia dan pengganas Sulu.

“Bagaimana mereka (Kesultanan Sulu) boleh membuat dakwaan itu apabila tiada pertempuran berlaku. Dakwaan itu tidak berasas,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi semalam.

Mohammad diminta mengulas laporan beberapa akhbar Filipina baru-baru ini kononnya berlaku pertempuran antara pasukan keselamatan dan kumpulan bersenjata Sulu yang mengorbankan lapan askar Malaysia.

Mohammad berkata laporan itu bertujuan untuk mencerminkan keadaan di negeri Ini tidak stabil selain usaha untuk membangkitkan kekacauan.

Pada 19 Jun, Mohammad menolak laporan akhbar Filipina kononnya berlaku Pertempuran antara pasukan keselamatan Malaysia dan kira-kira 400 militan Sulu di Kampung Dengan Tungku berhampiran Lahad Datu. — Bernama