ANGKASA sasar 1,000 koperasi masjid, surau ditubuh menjelang tahun depan

0

KUALA LIPIS: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) menyasarkan 1,000 masjid dan surau di seluruh negara akan menubuhkan koperasi masing-masing menjelang tahun depan.

Presidennya Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata pihaknya kini sedang menggandakan usaha dan turun padang dengan memberi penerangan dan kempen untuk memastikan sasaran itu tercapai.

“Adalah digalakkan supaya masjid-masjid dan surau-surau di negara ini menubuhkan koperasi masing-masing sebagai punca kewangan dan dapat menjaga kebajikan institusi masjid dan surau.

“Menerusi penubuhan koperasi, sekurang-kurangnya para jemaah di kariah masjid dan surau dapat menjadi pembekal kepada penduduk tempatan dengan berniaga secara kecil-kecilan sekaligus meningkatkan punca pendapatan masjid dan surauitu,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata jika perniagaan itu berkembang maju, mereka boleh memulakan perniagaan yang lebih besar dan bersaing dengan koperasi yang lebih besar.

“Banyak koperasi yang dahulunya bermodal kecil, tetapi kini sudah menjalankan perniagaan besar malah ada antaranya menjadi koperasi gergasi dan mampu bersaing dengan lain-lain syarikat,” katanya.

Abdullah Fattah yang juga Pengerusi Koperasi Pekebun Kecil Daerah Lipis berkata hingga kini terdapat lebih 200 masjid dan surau seluruh negara telah menubuhkan koperasi masing-masing dengan jumlah anggota seramai 6,000 orang. — Bernama