Monday, April 22

KM kunjungi kediaman wakil rakyat, ketua masyarakat Sibu

0

SIBU: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud mengadakan kunjungan Hari Raya Aidilfitri ke kediaman wakil rakyat dan ketua masyarakat di sini, pagi semalam.

Kunjungan pada Hari Raya ketujuh semalam dimulakan dengan kunjungan ke kediaman tokoh korporat, Temenggung Datuk Wan Hamid Edruce di Jalan Jasmine.

Selain itu, Taib dan rombongan turut mengunjungi kediaman Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Dr Annuar Rapa’ee di Jalan Kangkong.

Kunjungan diteruskan ke kediaman Penasihat Undang-undang Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Kuching, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah di Jalan Nibong.

Ini diikuti dengan kunjungan ke kediaman Ahli Parlimen Igan Datuk Abdul Wahab Dollah di Jalan Kampung Nangka dan rombongan tetamu kehormat terbabit turut dihidangkan jamuan makan tengah hari.

Turut mengiringi beliau sepanjang kunjungan itu ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu dan isteri, Menteri Pelancongan dan Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, Menteri Pembangunan Perindustrian Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh serta beberapa barisan menteri kabinet yang lain.