Stesen televisyen perlu hati-hati tayang rancangan

0

KUALA LUMPUR: Semua pengendali stesen televisyen dinasihat berhati-hati dan lebih teliti ketika menyiarkan sesuatu rancangan supaya tidak menyinggung perasaan mana-mana kaum di negara ini.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata pihak berkenaan perlu menimbang keadaan persekitaran masyarakat terlebih dahulu sebelum menyiarkan rancangan bergenre sensitif.

“Jangan timbulkan isu yang bersifat perkauman atau isu yang melibatkan sensitiviti agama kerana kita hidup dalam masyarakat pelbagai bangsa dan aman makmur,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Foto Akhbar Dunia (WPP) 2013 di sini, semalam.

Kelmarin, sebuah portal berita melaporkan tindakan Astro menyiarkan tanda peringatan berikut – “Program ini tertera dengan gambaran agama dan mewakili pandangan selain dari umat Islam. Budi bicara penonton disarankan”, sebelum rancangan dokumentari mengenai sejarah hidup Pope Francis.

Ia mengundang banyak kritikan daripada kebanyakan pelanggan Astro yang bukan beragama Islam mendakwa perbuatan meletakkan tanda peringatan itu adalah tidak perlu.

Dokumentari itu menyiarkan biografi yang mengisahkan sejarah hidup ketua Katolik itu.

Jailani berkata, kementerian juga tidak mengeluarkan arahan supaya tanda peringatan itu dikeluarkan oleh stesen televisyen satelit berbayar itu dalamrancangan dokumentari berkenaan.

Mengulas mengenai isu penyebaran video dan gambar di laman sosial sehingga membabitkan sensitiviti kaum dan agama yang semakin berleluasa, beliau memintaorang ramai supaya bertanggungjawab semasa menyebarkan bahan itu.

Katanya, penyebaran bahan itu boleh mengundang masalah kepada perpaduan dan keharmonian masyarakat di negara ini.

“Sekiranya orang ramai mendapati video atau gambar itu menyentuh sensitiviti, terus laporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia atau polis,” katanya. — Bernama