Fatimah galak wanita ceburi keusahawanan

0

BINTULU: Golongan wanita digalakkan menceburi bidang keusahawanan yang mempunyai potensi cerah untuk maju sekiranya dijalankan secara tekun dan bersungguh-sungguh, kata Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah.

Beliau berkata, tatkala negeri pesat membangun, pelbagai bentuk perniagaan dan keusahawanan wujud yang boleh diterokai golongan wanita sesuai dengan kemampuan mereka.

“Walaupun bukan mudah, namun kerajaan melalui Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga bersedia untuk membantu golongan wanita bagi menubuhkan sendiri perusahaan mereka sampai berjaya,” ujarnya semasa berucap pada Majlis Perasmian Butik Avon Cawangan Bintulu di Pusat Komersil Parkcity di sini, pagi semalam.

Fatimah berkata, golongan wanita yang semakin mengambil peranan dalam pelbagai sektor ekonomi wajar diberikan peluang untuk berjaya mengikut perusahaan yang ingin diusahakan oleh mereka.

Melalui panduan serta didikan yang diberikan, jelasnya, akan membolehkan golongan wanita lebih berkeyakinan untuk memulakan sendiri perusahaan yang diidamkan tanpa perlu berasa takut dan kurang yakin dengan kemampuan diri.

Harus diingat, katanya, bahawa suatu ketika dahulu peranan wanita sekadar di dapur dan sekiranya sudah bersuami, ramai yang hanya duduk di rumah menjaga makan minum suami dan anak, namun pada zaman moden ini, peranan wanita lebih daripada hanya tertumpu kepada menjaga hal berkaitan pengurusan keluarga.

“Apa yang ingin kementerian kita fokuskan pada masa sekarang ialah membantu golongan wanita sama ada yang belum atau sudah berkeluarga namun tidak bekerja agar mengusahakan perusahaan dari rumah bagi membantu menambahkan pendapatan keluarga,” jelasnya.

Sambil menyifatkan wanita mempunyai hak sama rata dengan kaum lelaki, Fatimah berharap usahawan wanita yang sudah berjaya dalam perusahaan masing-masing agar membantu serta membimbing rakan-rakan lain merealisasikan impian mereka untuk menjadi usahawan.

Katanya, kementerian akan berusaha memberikan akses kepada wanita yang benar-benar komited menjadi usahawan menerusi penyaluran bantuan untuk memulakan perusahaan masing- masing.

“Justeru, setelah mereka (wanita) mempunyai pendapatan tetap hasil daripada perusahaan mereka, baharulah kementerian memikirkan langkah seterusnya bagi membolehkan setiap usahawan mengukuhkan lagi perusahaan mereka,” ujarnya lagi.