Komitmen basmi kemiskinan

0

BERKUALITI: Jabu menunjukkan antara buah sawit berkualiti tinggi yang dipamerkan pada Persidangan Ahli Jawatankuasa Pembangunan Ladang SALCRA Ke-5 di BCCK, semalam.

KUCHING: Pengerusi Lembaga Pemulihan dan Penyatuan Tanah Sarawak (SALCRA) Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang optimis lebih ramai peserta akan menyertai SALCRA dalam membangunkan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).

Berucap pada majlis perasmian Persidangan Ahli Jawatankuasa Pembangunan Ladang SALCRA (AJPLS) Ke-5 semalam, Jabu berkata sejak diperkenalkan 37 tahun lalu, seramai 17,543 peserta berjaya dikeluarkan daripada kepompong kemiskinan di bawah skim penanaman kelapa sawit.

Malah, katanya, tahun lepas sahaja SALCRA telah mengagihkan bayaran dividen berjumlah RM101 juta kepada seluruh peserta skim ini melibatkan kesemua 19 estet di seluruh negeri dengan keluasan 51,000 hektar tanah.

“Pada awal skim ini diperkenalkan iaitu sekitar tahun 1976, pihak SALCRA berhadapan dengan pelbagai kesukaran untuk meyakinkan peserta terutama pemilik tanah untuk menyertainya.

“Namun, atas kepercayaan dan kesungguhan untuk membasmi kemiskinan dalam kalangan rakyat terutama di kawasan luar bandar, SALCRA akhirnya telah berjaya mendapat sokongan daripada ketua-ketua masyarakat serta rakyat akar umbi untuk meneruskan skim ini.

“Kini selepas 37 tahun, SALCRA bukan sahaja berjaya mengeluarkan masyarakat daripada kemiskinan, malah mulai bergerak ke aras masyarakat berasaskan industri melalui aktiviti menjana pendapatan bersifat komersil,” katanya.

Mengulas mengenai majlis itu, Jabu yang juga Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pemodenan Pertanian serta Menteri Kemajuan Luar Bandar berkata, ia melibatkan seramai 477 peserta terdiri daripada kesemua AJPLS dari 19 estet sedia ada.

Selain itu, persidangan AJLPS yang berlangsung selama dua hari pada 15 dan 16 Ogos itu juga dihadiri oleh wakil ketua-ketua masyarakat dan bakal peserta dari 22 buah kawasan baru yang akan dibangunkan.

Persidangan AJLPS dianjurkan dua tahun sekali dan pada tahun ini sebanyak lapan kertas kerja dibentangkan, iaitu Perkongsian Pengalaman dari Perspektif Peserta: Cabaran dan Kejayaan Pembangunan Tanah NCR ala SALCRA, Kuasa dan Tanggungjawab Tuai Rumah, Kepimpinan Berkesan Dalam Pembangunan dan Penubuhan Koperasi.

Hari kedua persidangan pula menyaksikan empat lagi kertas kerja dibentangkan iaitu ‘Salcra in Sarawak Transition,’ ‘Change and Continuity For SALCRA: Thinking about Education,’ Gambaran menyeluruh penglibatan pekerja asing di Malaysia dan ‘Palm Oil Industry with Global Context and Oil Palm Plantation Operations Round Up.

’ SALCRA yang diperkenalkan pada tahun 1976 memulakan program skim penanaman kelapa sawit di kawasan Lubok Antu atas faktor paras kemiskinan tertinggi dicatatkan di kawasan itu.

Selepas kejayaan di Lubok Antu, program pembangunan tanah SALCRA menerusi skim penanaman kelapa sawit diperluaskan ke kawasan Saratok sekitar tahun 1980-an dan disusuli dengan kawasan Serian dan Bau pada awal tahun 1990.