Lelaki nafi curi motosikal

0

MIRI: Seorang lelaki diperintahkan Mahkamah Majistret pagi semalam supaya dibebas dengan ikat jamin RM2,000 berserta dua penjamin tempatan setelah menafikan tuduhan mencuri sebuah motosikal.

Fauzi Ahmad, 23, dari Batu 13 Jalan Kuching-Serian, Kuching telah dituduh mencuri sebuah motosikal jenis Yamaha 125 berwarna biru dengan plat pendaftaran QMD9462 dan bernilai RM3,500 kepunyaan Hendra Hidayat Rosli.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu dengan niat bersama seorang lagi yang masih bebas pada jam 9.30 malam, 10 Ogos lalu di hadapan sebuah rumah Tudan Desaras Fasa 6 di sini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh telah didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari setahun dan tidak melebihi tujuh tahun serta denda, jika sabit kesalahan.

Setelah mendengar pengakuan tidak salah tertuduh, mahkamah kemudian menetapkan 29 Ogos ini untuk pengurusan kes dan 18 September ditetapkan sebagai tarikh perbicaraan lanjut.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Norliza Abdullah di hadapan Majistret Lovely Natasha Charles.