Sembilan kematian dilapor akibat CRE belum diaudit: Dr Zulkifli

0

KUCHING: Sejumlah 26 kes ‘Carbapenem-Resistant Enterobaceriaceae’ (CRE) dilaporkan antara bulan Januari hingga Julai di Hospital Sibu dan daripada jumlah itu, sembilan melibatkan kematian.

Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Datu Dr Zulkifli Jantan menegaskan, sembilan kes kematian berkenaan belum diaudit untuk mengesahkan sama ada, ia adalah disebabkan kes jangkitan secara terus daripada CRE.

“Dari Januari hingga Julai, daripada 26 kes terdapat sembilan kematian yang belum diaudit untuk mengesahkan sama ada punca jangkitan adalah langsung atau sebaliknya.

Sembilan kematian itu melibatkan pesakit di wad yang mungkin meninggal dunia disebabkan penyakit lain atau komplikasi sedia ada.

“Jadi buat masa ini, kami tidak tahu jumlah yang tepat untuk kematian yang disebabkan secara langsung oleh CRE,” katanya kepada Borneo Post di sini, semalam.

Beliau berkata, langkah berjaga-jaga telah diambil oleh Hospital Sibu melibatkan aktiviti kawalan jangkitan terhadap pesakit di wad, kakitangan dan peringkat wad.

“Bagaimanapun, apa sahaja langkah yang telah diambil tidak perlu dimaklumkan kepada orang ramai, kami hanya menghadapinya.

“Terdapat langkah-langkah tertentu yang perlu diambil dan kami telah mengambil semua langkah itu,” kata Dr Zulkifli.

Langkah pertama adalah memaklumkan kepada kakitangan supaya pesakit akan dikendalikan dengan langkah berjaga-jaga.

“Kita juga perlu melakukan pemantauan di mana kita akan mengambil sampel bakteria daripada pesakit untuk pemerhatian,” katanya.

Dr Zulkifli akan mengadakan satu sidang media hari ini untuk memberi penjelasan lebih mendalam dan pertanyaan lanjut daripada media.