Saturday, May 28

Tanam semula getah di NCR hanya dilulus selepas disokong JTS

0

KUCHING: Pihak Berkuasa Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) hanya akan meluluskan permohonan bagi program penanaman semula getah melibatkan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) selepas mendapat sokongan daripada Jabatan Tanah dan Survei (JTS) negeri.

Pengarah RISDA Cawangan Sarawak Wahid Marican Mohamad Daud Marican berkata, sokongan daripada JTS penting memandangkan hak pemilikan terhadap tanah NCR bukan hak individu sebaliknya komuniti di kawasan terbabit.

Selain mendapat sokongan JTS, semua pemilik bersama tanah NCR berkenaan mesti bersetuju dan keluasan minimum tanah yang mahu dibangunkan ialah 40 hektar.

“Kita menggalakkan pemilik-pemilik tanah NCR menyertai program ini dan mereka dinasihat mengemukakan permohonan disertai dengan senarai pemilik bersama tanah NCR dan pelan kasar ukur keliling.

“Selepas itu ,RISDA akan ajukan kepada JTS untuk disokong. Jika JTS mengesahkan tanah berkenaan memang tanah NCR mereka, kita akan luluskan permohonan dan geran akan diberikan,” jelasnya ketika ditemu bual di pejabatnya di sini, semalam.

Beliau juga memberitahu, selepas mendapat sokongan JTS, RISDA akan mengeluarkan notis selama 30 hari dengan menyenaraikan semua pemilik tanah NCR terbabit dan sekiranya ada bantahan daripada salah seorang pemilik, projek itu tidak akan diteruskan.

Menurut Wahid, lazimnya JTS mengambil masa selama dua tahun untuk meluluskan satu permohonan melibatkan tanah NCR.

“Saya berharap dengan Inisiatif Baharu Tanah NCR yang memberi penekanan kepada ukur keliling yang sedang dilaksanakan sekarang, proses mendapat sokongan JTS akan dipercepatkan.

“Sambutan daripada pemilik bersama tanah NCR di negeri ini untuk menyertai program tanam semula RISDA amat menggalakkan cuma masih ramai tidak tahu prosedurnya,” katanya.

Sementara itu, Wahid memberitahu daripada 11,289 hektar tanah yang telah diluluskan bagi tujuan itu semenjak tahun 2009, 1,170 hektar adalah tanah NCR membabitkan 512 peserta.

Lokasi-lokasi tersebut antaranya ialah Entabau, Pakan (200 hektar), Kampung Riih, Serian (250 hektar), Kampung Bintawa, Serian (100 hektar), Kampung Kerait, Serian (130 hektar), Kampung Bokah, Lundu (170 hektar), Rumah Sungai Jih, Kanowit (160 hektar) dan Kelulit, Sibuti (150 hektar).

Sementara itu, beliau menasihati orang ramai atau individu yang berminat mengusahakan tanaman getah secara komersial mendapatkan benih dijual di RISDA Semaian bagi mengelak ditipu.

Di RISDA Semaian, katanya, hanya baka yang diluluskan Lembaga Getah Malaysia (LGM) dijual, antaranya PB 350, PB 260, RRIM 2002 dan RRIM 2015. RISDA Semaian ditempatkan di Samarahan, Lundu, Saratok, Sibu dan Miri.

“Orang ramai yang mahu mengetahui lebih lanjut mengenai program penamanam semula getah boleh datang terus ke pejabat-pejabat cawangan RISDA di seluruh Sarawak atau melayari portal rasmi RISDA.

“Permohonan juga boleh dilakukan secara atas talian selain menggunakan borang sedia ada,” katanya.