Keselamatan sempadan ditingkat

0

GUNA SEBAIKNYA: Junaidi (kiri) menyampaikan cek bantuan kecemasan kepada salah seorang penerima bagi perbelanjaan yuran pengajian ke universiti dan kolej pada majlis tersebut.

KUCHING: Pihak polis akan mengambil alih tugas-tugas mengawal keselamatan dan kegiatan penyeludupan di sempadan Malaysia.

Pada masa yang sama, Unit Pencegahan Penyeludupan akan diperketatkan di bawah kawal selia Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Langkah ini, menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar adalah bagi meredakan masalah penyeludupan terutama melibatkan penyeludupan senjata api di sempadan Malaysia-Thailand.

“Saya akan berjumpa dengan Pengarah Intelligent Bureau India, S.A Ibrahim Isnin ini yang mana beliau merupakan seorang pakar dalam soal penyeludupan merentasi sempadan.

“Perjumpaan ini adalah selaras dengan lawatan saya dan selepas itu, saya akan ke Kelantan untuk melihat sendiri keadaan keselamatan di sana khususnya berhubung penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand yang dianggap sebagai satu kawasan yang banyak mendatangkan kemasukan senjata api,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Penye-rahan Cek Bantuan Kecemasan Ahli Parlimen P.193 Santubong di sebuah hotel di sini, semalam.

Tambah Wan Junaidi, dalam soal keselamatan negara, beliau berpendapat adalah penting untuk memastikan peralatan yang digunakan oleh pihak polis dan Unit Pencegahan Penyeludupan mencukupi.

“Kerajaan tidak boleh berkompromi dengan soal keselamatan negara walaupun kos peralatan seperti mesin pengimbasan untuk setiap CIQ adalah tinggi.

“Ini kerana soal keselamatan negara adalah lebih penting berbanding kos peralatan yang tinggi dan harapan saya, kementeri-an boleh mempengaruhi kerajaan supaya dalam masa yang singkat, bajet untuk pembelian mesin ini dapat diluluskan bagi menangani masalah yang berlaku dalam negara kita sekarang,” tambahnya.

Wan Junaidi turut bersetuju bahawa ada kekurangan anggota polis yang perlu ditangani dalam negara ini.

Katanya, meskipun kerajaan telah meluluskan 4,000 anggota polis dilantik setiap tahun tetapi pada masa yang sama, seramai 1,500 anggota bersara dan hanya 2,500 pertambahan setiap tahun.

Justeru, beliau berharap kerajaan akan lebih realistik dalam soal lantikan 4,000 anggota polis baru setiap tahun tanpa mengganggu anggota yang bersara.

Terdahulu pada majlis itu, Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong menyampaikan cek bantuan kecemasan bernilai RM35,100 kepada 41 penerima bagi kawasan Parlimennya.

Bantuan kecemasan tersebut terdiri daripada tiga pecahan perbelanjaan iaitu bantuan yuran pengajian ke universiti dan kolej, bantuan kepada mangsa bencana alam dan bantuan kepada pesakit kronik.