Kemerdekaan cakupi makna melangkaui bebas penjajah

0

BINTULU: Kemerdekaan yang dikecapi bukan bermakna bebas daripada penjajah semata-mata, malah mencakupi definisi yang cukup luas sama ada dari segi mental, fizikal dan spiritual.

Ia juga mempunyai pengertian serta ekspresi yang cukup luas dan berubah-ubah sejak zaman pascamerdeka hingga sekarang mengikut perkembangan mentaliti penduduk dan kemajuan semasa yang dikecapi negara.

Yusup Harbi, 47, yang merupakan Timbalan Pengerusi Bintulu Bikers Community berkata, erti kemerdekaan bagi dirinya ialah bebas daripada cengkaman penjajah asing dan seterusnya bangkit menjadi sebuah bangsa yang bermaruah dan berdaulat sebagaimana yang dinikmati oleh rakyat pada masa sekarang.

“Melalui kemerdekaan yang kita nikmati ini membolehkan kita sebagai rakyat Malaysia menentukan corak kepimpinan negara ini yang dibina mengikut acuan serta identiti kita sendiri bagi mempercepatkan proses pembangunan negara,” ujarnya.

Pada masa sama, katanya, kemerdekaan yang sebenarnya ialah corak kehidupan dan pemikiran rakyat yang maju serta berwawasan sekali gus berusaha mencapai segala impian tanpa mendapat halangan daripada sesiapa pun kerana setiap individu berhak untuk memajukan diri sendiri dalam pelbagai aspek.

Mohd Hafizal, 39, yang merupakan kakitangan di Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Cawangan Bintulu berkata, dalam konteks masa kini, merdeka bukan sahaja membawa erti bebas daripada penjajahan kuasa luar sahaja, namun ia membawa maksud yang lebih luas lagi iaitu kebebasan bersuara tanpa sebarang sekatan daripada mana-mana pihak.

“Bagaimanapun, semua itu bukanlah brmakna tidak mengenang pejuang kemerdekaan yang sanggup mengorbankan nyawa mereka demi mencapai kemerdekaan, cuma erti kemerdekaan itu sendiri telah ditafsirkan dengan pelbagai firasat dan maksud sesuai dengan pantasnya pembangunan yang dinikmati negara pada masa sekarang,” ujarnya.

Apa yang paling penting, katanya, golongan belia yang merupakan bakal pemimpin masa hadapan harus sentiasa bersiap sedia dalam memperkasakan bangsa yang merdeka dengan memelihara keamanan dan kemakmuran yang rakyat di negara ini nikmati pada masa sekarang.

Beliau sebagai menambah bahawa perpaduan yang dibina sejak kemerdekaan harus diperkukuhkan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini bagi memastikan keharmonian kaum yang berkekalan.

“Justeru, adalah penting bagi generasi muda memahami secara mendalam jerit perih yang dialami oleh pejuang kemerdekaan dalam menuntut kemerdekaan tanah air pada suatu ketika dahulu,” tambahnya.