Maklumat orang ramai bantu JKM tingkat perkhidmatannya

0

KUCHING: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memperkasakan perkhidmatannya dalam membantu warga emas, cacat anggota dan golongan gelandangan melalui maklumat daripada orang ramai.

Justeru, Menteri Kebajikan Wanita dan Pembangunan Keluarga, Datuk Fatimah Abdullah berkata beliau mahu amalan itu diteruskan bagi memberi peluang kepada golongan terbabit untuk mendapatkan bantuan.

“Pihak kami berterima kasih kepada orang ramai yang sudi memberi maklumat sama ada secara lisan, bertulis, SMS atau melalui laman Facebook yang sentiasa berbuat demikian.

“Setakat ini, seramai 54,468 penerima bantuan JKM di seluruh negeri dan walaupun jumlah ini besar, sekiranya semua pihak bekerjasama maka lebih ramai lagi mereka yang memerlukan dapat dibantu,” katanya ketika berucap meraikan warga emas pada Majlis Ramah-tamah Aidilfitri Rumah Seri Kenangan Kuching di sini, semalam.

Pada majlis itu, seorang warga emas, Totong Nyion, 90, dari Lorong Lintang 1, Kampung Stapok ditempatkan di pusat itu kerana hidup dalam kedaifan.

“Saya mengetahui mengenai Totong melalui Facebook. Beliau hidup keseorangan dan tidak mempunyai sesiapa untuk menjaganya, dan apabila hujan turun beliau akan ke tempat yang beratap untuk berteduh kerana separuh daripada rumahnya tidak beratap lagi.

“Pakcik Totong hidup dalam kedaifan maka selepas siasatan dijalankan oleh Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pihak kami menempatkan beliau di sini,” kata Fatimah.

Pada mulanya, Totong mempunyai masalah pergaulan bersama penghuni yang lain kerana rindukan kampung halaman dan terseliuh di kaki kanannya tetapi sekarang beliau sudah dapat menyesuaikan diri, jelas Fatimah lagi.

Sementara itu, di Kampung Tanjong terdapat dua beradik yang dikenali sebagai Naim dan Zainab berumur 72 dan 82 tahun masing-masing juga hidup dalam kedaifan layak mendapat bantuan JKM.

“Segala urusan teknikal akan diuruskan bagi memudahkan adik beradik ini mendapatkan bantuan daripada pihak kebajikan.

“Kita juga telah menyerahkan kerusi roda bagi memudahkan pergerakan salah seorang daripada dua beradik terbabit,” tambahnya.

Pihak JKM akan menghantar pasukan sukarelawan ‘Home Health Services’ dengan bantuan exco Wanita PBB Tupong, Sinjan, Samariang untuk bergotong-royong membersihkan halaman kediaman dua beradik itu.

Fatimah turut memberitahu Rumah Seri Kenangan yang terletak di Batu 12 Jalan Kuching-Serian sedang dalam proses pembinaan dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun lagi.

Pihaknya turut bercadang untuk memperkasakan Pusat Pemulihan Tunas Bakti bagi membantu belia bermasalah dan golongan gelandangan mempelajari ilmu berkemahiran dan mengubah nasib kehidupan mereka.