Politik kacau-bilau jejas perpaduan

0

DEBAK: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato Sri Douglas Uggah Embas berkata, rakyat perlu sedar bahawa politik kacau-bilau akan menghancurkan perpaduan kaum dan akhirnya rakyat sendiri yang akan menderita.

Beliau berkata, adalah sesuatu yang sukar untuk menjaga keharmonian dan perpaduan kaum di negara yang mempunyai masyarakat majmuk, tetapi amat mudah untuk memecah belah dan menghancurkan perpaduan jika rakyat berfikiran negatif dalam setiap perkara yang berlaku.

“Apatah lagi kemajuan teknologi dan dan Internet yang menjadi keperluan generasi kini menjadi sistem dan medium paling berkesan untuk menyampaikan sesuatu kepada umum.

“Kesilapan kita menggunakan medium tersebut dengan penyebaran berita yang salah akan menjadikan penerimaan negatif umum dalam sesuatu perkara sekali gus menjejaskan keharmonian kaum.

“Kemajuan ini jika disalah guna akan memberi kesan dan merosakkan perpaduan yang sedia ada meskipun sekadar untuk gurauan.

“Jangan jadikannya sebagai permainan kerana ia pasti akan diterima dan dianggap benar oleh sesetengah pihak yang berkepentingan untuk menyebarkan perkara negatif,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Ramah-tamah Aidilfitri Peringkat Kampung Debak di Dewan LAKID di sini, semalam.

Uggah berkata, rakyat perlu mengambil iktibar atas kejadian yang berlaku di negara lain yang sedang dalam kancah peperangan dan hilangnya perpaduan rakyat yang mengamalkan politik berbeza.

“Kita di sini bernasib baik kerana mempunyai kerajaan yang kukuh dan sentiasa memberi komitmen untuk kesenangan rakyat bersama.

“Dengan kemampuan yang ada, kita mampu mengekalkan perpaduan dalam meneruskan tradisi yang menjadi sanjungan setiap bangsa yang menyambut perayaan masing-masing di Malaysia tanpa resah dan dibayangi masalah ketakutan.

“Seperti hari ini (semalam), kita dapat berkumpul sambil menghulur tangan bermaaf-maafan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di samping menikmati juadah yang disajikan oleh penduduk kampung yang turut serta memeriahkan sambutan kali ini,” katanya.

Sementara itu, program anjuran bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung(JKKK) Kampung Melayu Debak dan Kawasan Rukun Tetangga(KRT) Kampung Debak bertema ‘Ju Berami Rayo Debak’ melibatkan lapan JKKK di kawasan Kampung Melayu Debak.

Pelbagai juadah disajikan pada majlis tersebut yang dihadiri lebih 1,000 penduduk sekitar Kampung Melayu Debak.

Pada majlis itu, Uggah turut mengumumkan pembinaan Dewan Masyarakat yang baharu bernilai RM1 juta akan dimulakan secepat mungkin dengan fasa pertamanya bernilai RM500,000.

Selain itu, turut diumumkan pembinaan Dewan Sekolah Kebangsaan Datuk Bandar Debak akan diteruskan dengan kos RM200,000.

Beliau turut meluluskan peruntukan dan menyerahkan cek bernilai RM30,000 kepada Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Debak (LAKMD), selain peruntukan untuk setiap masjid dan surau di kawasan Debak yang masing-masing RM10,000 untuk masjid dan RM5,000(surau).

Pada akhir majlis, beliau menyampaikan sumbangan duit raya kepada lebih 150 warga emas.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas Mohamad Razi Sitam dan isteri, Residen Bahagian Betong Datu Romie Sigan Daniel dan Pegawai Daerah Betong Friday Belik.