SEB terima kunjungan rasmi Dr Ongkili

0

KUCHING: Sarawak Energy Berhad (SEB) menerima kunjungan rasmi Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Panglima Dr Maximus Johnity Ongkili serta para pegawainya di Menara Sarawak Energy, kelmarin.

Beliau disambut oleh ahli Lembaga Pengarah Datuk Idris Buang, Ketua Pegawai Operasi Lu Yew Hung, Ketua Perkhidmatan Korporat Aisah Eden, Naib Presiden Perhubungan Dasar dan Kerajaan, Zuraimy Kushaili serta para pegawai kanan SEB.

Ia merupakan lawatan pertama Dr Ongkili ke Menara Sarawak Energy sejak perasmiannya pada tahun lepas.

Semasa lawatan, beliau diberi taklimat mengenai operasi SEB termasuk tinjauan ke Sarawak Despatch Centre, iaitu pusat kawalan elektronik bagi pengagihan kuasa ke seluruh negeri.

Dalam ucapannya, Dr Ongkili mengucapkan tahniah atas pencapaian SEB yang menerima pengiktirafan untuk Menara Ibu Pejabatnya sebagai bangunan pertama di Timur Malaysia dianugerahkan Index Bangunan Hijau (GBI) dengan kedudukan Perak di bawah kategori Pembangunan Baharu Bukan Kediaman.

Penyampaian anugerah tersebut telah disampaikan sendiri oleh Dr Maximus di Pusat Konvensyen Sime Darby pada 11 Julai lepas semasa pelancaran Green Building Index Residential Construction Tool Version 3.

Dr Ongkili juga berharap dengan pembangunan pesat di bandar-bandar di negeri ini, pihak berkaitan akan lebih banyak menyediakan bangunan dengan pensijilan GBI tanpa mengira sama ada bangunan baharu atau menaik taraf bangunan.

GBI merupakan sistem kedudukan yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Arkitek Malaysia dan Persatuan Perundingan Jurutera untuk bangunan di bandar bagi tujuan mempromosikan kesedaran mengenai kepentingan penjagaan alam sekitar di kalangan pemaju, arkitek, jurutera, pereka, kontraktor, perancang serta orang awam.

Menemani Dr Ongkili pada lawatan tersebut ialah Timbalan Setiausaha Agung KETTHA, Datuk Badaruddin Mahyudin dan Setiausaha Politik Datuk Daniel Kinsik.