MIRI: Kekuatan yang ada pada pergerakan Pemuda dan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di setiap ranting dan bahagian adalah penentu dan pengukuh kepada tahap kepimpinan parti itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir Ripin Lamat menyifatkan kedua-dua pergerakan itu sebagai sayap kiri dan kanan kepada pergerakan badan induk PBB yang merupakan parti tulang belakang Sarawak.
“Tanpa sayap kiri dan kanan yang bagus, bersatu padu dan kuat, akan pincanglah pergerakan bapa, badan induk kita,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Sesi 2013-2016 Pergerakan Pemuda dan Wanita PBB N.63 Piasau di Hotel Dynasty di sini, petang semalam.
Sehubungan itu, Ripin yang juga Exco Pemuda Negeri dan Ketua Pergerakan Pemuda PBB Zon 9, mahu ahli-ahli fokus kepada perjuangan parti dan menitikberatkan aspek kerjasama.
“Jangan kita biarkan watak-watak tertentu dan unsur dari luar memecahbelahkan perpaduan dan kerjasama di antara kita kerana mereka mempunyai kepentingan peribadi,” katanya.
Beliau juga tidak mahu pembabitan dalam parti dijadikan platform untuk ahli-ahli mengaut keuntungan untuk diri sendiri.
“Yang penting adalah perjuangan parti. Kalau kita bersemangat, perjuangan adalah untuk parti, parti akan terus kekal,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Ripin mahu pergerakan Pemuda menguatkan kempen dan sokongan pengundi terhadap parti.
Beliau memuji usaha pergerakan Wanita yang disifatkan teliti dan menyeluruh sehingga menjadikan mereka sebagai pasukan yang kuat.
“Badan induk adalah pembimbing yang memandu dan memberi arahan supaya bergerak bersama, bergerak satu rentak, satu irama.
Oleh itu, saya menyeru Pemuda dan Wanita menjaga keutuhan dan perpaduan dalam parti,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau berharap Pemuda dan Wanita akan bekerja keras untuk merekrut ahli-ahli baharu serta pengundi.
PBB, katanya, masih dan terus kekal menjadi pilihan rakyat dan mencatat rekod cemerlang dengan memenangi semua kerusi yang dipertandingkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU).
Semangat perpaduan yang telah lama wujud di kalangan ahli-ahli PBB menjadi nadi penggerak dan kekuatan PBB selama ini, tegasnya.
“Kerjasama tidak wujud semasa pilihan raya sahaja.
Ia ada pada hari-hari biasa yang lain.
Contohnya penganjuran ramahtamah Aidilfitri dan hari perayaan lain seperti Hari Gawai di mana ahli bersama-sama menyumbang tenaga menganjurkannya.
Ini bukti kukuh yang mengatakan wujud satu perpaduan,” jelasnya.