Syarikat pelaburan amanah rancak pembangunan Satok dilancar 1 Sept

0

KUCHING: Dalam usaha merancakkan rancangan pembangunan hartanah melibatkan perkampungan Melayu di Satok, sebuah syarikat pelaburan amanah akan dilancarkan pada 1 September ini.

Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, pembangunan itu merangkumi kawasan sekitar Kompleks Islam Sarawak dan Masjid Bandar Raya Kuching.

Selain itu, menurutnya, rancangan pembangunan tersebut turut melibatkan pemanjangan Tebingan Kuching hingga ke Kampung Bintangor.

“Apa yang boleh dilihat sekarang, kita sudah membangunkan Kompleks Islam Sarawak seterusnya membangunkan ‘Islamic Boulevard’ yang merangkumi Kampung Masjid dan Limbungan Brooke.

“Tembok sedang dibina di Kampung Masjid manakala Tebingan Kuching akan dipanjangkan hingga Kampung Bintangor,” katanya berucap pada Majlis Ramah-tamah Aidilfitri Persatuan Old Star malam kelmarin.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan berkata, syarikat pelaburan amanah diperlukan untuk mengurus hartanah dan mempertahankan kepentingan penduduk setempat.

“Pada 1 September, kita akan melancarkan syarikat pelaburan amanah untuk menguruskan hartanah dibangunkan agar tidak terlepas daripada penduduk.

“Dana RM1 juta sudah diterima sebagai modal permulaan,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau berharap projek Pembangunan Darul Hana yang bermula dari Kampung Boyan hingga Kampung Bintawa dapat dilaksana dengan lancar bagi memberi faedah kepada penduduk setempat.

“Oleh itu, generasi muda digalak untuk mengetengahkan bakat dan kemahiran masing-masing dalam bidang seni bina, perakaunan, pengurusan hartanah serta kejuruteraan dalam program pembangunan ini,” jelasnya.