Tuesday, September 24

Kereta milik menteri muda hilang dipercayai dicuri

0

KUCHING: Kereta milik seorang menteri muda dilaporkan hilang dipercayai dilarikan pencuri awal pagi semalam.

Menurut sumber, kejadian tersebut berlaku di rumah anak saudara menteri muda tersebut di Jalan Stapok Batu Kawah, di sini.

Difahamkan, anak saudara kepada menteri muda tersebut yang dikenali sebagai Michael, 52, memberitahu dia hanya menyedari perkara tersebut selepas bangun tidur iaitu sekitar jam 7 pagi.

Dia kemudian cuba mencari kereta jenis Toyota Land Cruiser berwarna kelabu milik bapa saudaranya itu yang juga seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), namun tidak berjaya dan terus membuat laporan polis berhubung kejadian.

Siasatan polis masih dijalankan dan kerugian dianggarkan mencecah RM110,000.

Sementara itu, dalam satu kejadian berasingan, seorang wanita hamil dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) akibat kecederaannya selepas diragut pagi semalam.

Mangsa,39, difahamkan telah diragut dua lelaki menggunakan sebuah motosikal sebelum dia ditolak sehingga menyebabkan kecederaan di hadapan sebuah kedai mencuci kereta di Batu 4, Jalan Penrissen.

Ekoran kejadian tersebut, mangsa dikatakan mengalami kecederaan di bahagian tangan dan kepalanya menyebabkan dia terpaksa dikejarkan ke HUS untuk rawatan lanjut.

Laporan polis berhubung kejadian telah dibuat oleh adik ipar mangsa dan siasatan polis masih dijalankan.