Wednesday, August 12

Pelajar keguguran, ibu bapa lapor polis

0

SIBU: Seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun yang keguguran memaksa ibu bapanya membuat dakwaan kes rogol terhadap seorang lelaki kerana enggan bertanggungjawab.

Dalam kejadian pada jam 7 malam Isnin lalu, gadis bawah umur yang tinggal di sebuah rumah panjang di Salim, Stabau itu mengadu sakit perut.

Bimbang melihat keadaan anaknya yang mengalami pendarahan di bahagian sulitnya, ibu mangsa serta ahli keluarganya bergegas menghantarnya ke Hospital Sibu untuk mendapatkan rawatan.

Selepas diperiksa, doktor mendapati mangsa mengalami keguguran dan terpaksa dibedah kerana janin di dalam perutnya sudah tidak bernyawa.

Mangsa kini masih ditahan di hospital untuk menerima rawatan lanjut.

Pihak hospital turut menasihati ibu bapa mangsa agar membuat laporan polis terhadap lelaki yang bertanggungjawab dalam kes tersebut kerana mangsa masih di bawah umur.

Difahamkan, mangsa telah menjalinkan hubungan intim dengan teman lelakinya yang berumur 22 tahun sejak beberapa bulan lalu.

Menurut abang mangsa, adiknya sering keluar rumah pada waktu pagi untuk berjumpa dengan teman lelaki secara sulit.

Sehubungan itu, ibu bapa mangsa telah berjumpa dengan lelaki terbabit yang sepatutnya bertanggungjawab, tetapi suspek menafikan sebarang kesalahan.

Sebaliknya, suspek yang hanya bekerja sebagai buruh kasar dan sedang menunggu kerja sebagai pelaut tidak lama lagi bertegas enggan mengaku bahawa dia yang menyebabkan mangsa mengandung.

Selepas rundingan antara pihak lelaki gagal, ibu bapa mangsa serta ahli keluarganya terus bertindak membuat laporan polis pada pagi semalam.

Difahamkan, gadis bawah umur terbabit memberitahu ibu bapanya bahawa hanya lelaki berkenaan yang pernah menidurinya selama ini.

Polis di sini dijangka akan menjalankan siasatan kes sejurus menerima laporan kes rogol tersebut.