Seorang lagi suspek ditahan dalam kes jenayah di Sibu

0

SIBU: Polis menahan seorang lagi suspek lelaki petang kelmarin kerana dipercayai bersubahat dengan tiga suspek lain yang ditahan terlebih dahulu kerana dipercayai melakukan jenayah rompak, pecah rumah dan curi kereta.

Susulan itu, polis juga merampas pelbagai barangan yang belum dapat dipastikan jumlahnya.

“Semua suspek iaitu tiga lelaki dan seorang wanita berumur antara 29 dan 36 tahun telah ditangkap di berlainan tempat termasuk penangkapan seorang suspek lelaki berumur 32 tahun di Lorong 2, Jalan Lanang pada jam 4.

45 petang Selasa lalu,” kata Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu, Superintenden Zayadi Sebeli pada sidang akhbar di Balai Polis Sentral, petang semalam.

Menurut beliau, suspek pertama berumur 36 tahun ditahan semasa polis melakukan serbuan ke atas sebuah hotel di Jalan Foochow pada jam 3.

40 pagi kelmarin.

Zayadi berkata, selepas siasatan lanjut, suspek membawa pihak polis ke Lorong 13, Jalan Wong King Huo dan menahan seorang lagi suspek lelaki, 31, yang sedang memandu sebuah van yang sarat dengan barangan dipercayai dicuri pada jam 6.45 pagi.

“Selepas itu, pihak polis pergi ke rumah rumah suspek dan merampas tiga lagi barangan curi serta memberkas teman wanita suspek berumur 29 tahun,” katanya.

Menurut Zayadi, pihaknya juga merampas sebanyak 18 kunci kereta daripada suspek keempat yang ditahan di Lorong 2 ,Jalan Lanang pada 4.45 petang kelmarin.

“Suspek keempat dipercayai terlibat dalam pelbagai jenayah rompakan di Sibu, Sarikei dan Bintangor,” tambahnya.

Beliau memberitahu, semua suspek didapati positif dadah dan mereka akan direman sehingga 24 Ogos mulai hari ini.

Turut hadir pada sidang akhbar semalam ialah Ketua Bahagian Siasatan Jenayah DSP David Ajek dan Pegawai Penyiasat Kanan ASP Yeoh Chun Shyan.