Sunday, April 21

Dua bulan berlalu, ibu masih belum terima berita dua anak diculik

0

MIRI: “Sebagai seorang ibu saya merayu. Saya tidak dapat bekerja dan menangis hampir setiap hari, berdoa agar mereka dikembalikan kepada saya dengan selamat.”

Demikian rayuan ibu tunggal, Hanim Abdullah, selepas dua orang anaknya diculik dan dilarikan oleh seorang lelaki warga Indonesia, dua bulan lepas.

“Apa yang saya risaukan ialah jika anak saya dicederakan atau mungkin dijual kepada orang lain di Indonesia. Mereka adalah anak-anak saya, perkara yang paling berharga buat saya,” ujar beliau sebak ketika ditemui pada sidang media di Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Miri Dr Michael Teo di sini, semalam.

Bercakap kepada pemberita, Hanim berkata, beliau teringin untuk pergi ke Indonesia dan mencari sendiri anak-anaknya, tetapi sebagai seorang yang tidak berpendidikan, beliau mengakui tidak tahu apa yang hendak dilakukan.

Hamin, 49, seorang mualaf berbangsa Iban berasal dari Bakong memberitahu, anak perempuannya yang berusia empat tahun, Renny Abdullah dan anak lelakinya, Rehan Abdullah, 3, telah dilarikan oleh bekas kekasihnya, seorang warga Indonesia yang dikenali sebagai Thomas Sibat @ Atan pada 24 Jun lalu.

Menurut Hanim, Atan yang dikenalinya sejak dua tahun lalu dan tinggal bersama sehingga awal tahun ini, telah berpisah dengannya empat bulan lepas.

Selain dua anak kecil itu, Hanim memberitahu anak sulung perempuan yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak turut tinggal bersamanya di rumah mereka di Taman Permai, Bandar Baru Permyjaya di sini.

“Anak sulung saya dan Atan sering bergaduh kerana anak saya tidak senang dengan Atan yang merupakan seorang penganggur dan tinggal bersama kami serta sering meminta duit daripada saya. Oleh sebab itu, saya dan Atan berpisah empat bulan lepas,” katanya.

Namun pada 24 Jun lalu, Atan muncul semula di rumahnya dan meminta kebenarannya untuk membawa kedua-dua anak Hanim, Renny dan Rehan untuk membeli-belah di pasar raya Emart yang terletak tidak jauh dari rumah mereka.

“Saya tidak menyimpan sebarang prasangka buruk terhadap niat dia (Atan) lalu membenarkannya pergi bersama dua anak saya dengan menaiki kenderaan Toyota Hilux milik saya, pada tengah hari 24 Jun. Namun, apabila sehingga ke malam mereka tidak pulang, baharulah saya sedar dia telah melarikan diri dengan kereta dan anak-anak saya,” katanya.

Pada hari kejadian, menurut Hanim, beliau kerap kali menghubungi telefon bimbit Atan namun tidak berhasil kerana ditutup, malah beliau turut bertanya kepada rakan-rakan serta kakak Atan, namun semuanya tidak dapat membantu beliau.

“Saya telah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut pada malam hari yang sama mereka hilang (24 Jun) namun sehingga hari ini, tiada satu pun khabar daripada pihak polis.

“Sejak saya melaporkan perkara tersebut, hampir setiap minggu saya pergi ke balai polis bertanyakan perkembangan, namun tiada hasil. Sehingga hari ini (semalam), hampir dua bulan, anak saya masih belum ditemui dan saya sudah tidak mampu menunggu pihak polis lagi,” katanya.

Beliau telah berusaha melakukan pelbagai cara untuk mencari anaknya, termasuk mengenal pasti di mana Atan bersembunyi, namun hampa, malah beliau mendakwa polis juga memberitahunya bahawa tiada maklumat terbaharu mengenai kes kehilangan Atan dan anak-anaknya.

“Apa yang lebih membimbangkan saya, bukan hanya keselamatan mereka, lebih-lebih lagi Rehan yang mengalami penyakit asma dan pada hari itu, dia tidak membawa bersama peralatan ubat asmanya.

“Apa yang saya mahukan hanyalah Rehan dan Renny dikembalikan kepada saya dengan selamat. Sudah dua bulan mereka dipisahkan daripada saya, malah keadaan ini sekali gus menjejaskan kehidupan saya sendiri dan turun kerja pun sering lambat,” katanya dengan linangan air mata.

Hanim yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Golden Hill Memorial Park, Lambir berkata, beliau masih lagi membayar ansuran keretanya itu yang berjumlah hampir RM1,000 setiap bulan, namun pada pada yang sama, beliau berpendapat kenderaan tersebut mungkin sudah dijual oleh Atan.

Oleh kerana tiada pilihan lagi, sambil ditemani oleh kakaknya, Hanim terpaksa bertemu dengan Dr Teo untuk mendapatkan bantuan agar mengesan anaknya dan mengembalikan mereka ke pangkuannya.

Sementara itu, Dr Teo ketika bercakap kepada pemberita di sini semalam memberitahu, beliau akan membantu Hanim untuk merujuk semula kes kehilangan anaknya itu kepada pihak polis di samping cuba membantunya untuk mendapatkan pertolongan daripada Kedutaan Indonesia di sini bagi mengesan Atan dan anak-anaknya.

“Dua bulan adalah tempoh yang amat panjang. Saya mahu tahu setakat mana siasatan yang telah dilakukan oleh pihak polis dalam kes ini,” ujar Dr Teo.