Sunday, August 25

Hari Pengakap Sedunia 2013 di Sibu

0

PENGANJUR: Kuo (tengah) bersama ahli jawatankuasanya pada sidang media di Sibu, Selasa.

SIBU: Majlis Pengakap Sibu menganjurkan Hari Pengakap Sedunia 2013 Peringkat Negeri Sarawak sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-100 Pengakap Sarawak pada 25 Ogos (Ahad ini) di Pintu Gerbang Sibu, bermula jam 8 pagi.

Pengerusi jawatankuasa penganjur Oliver Kuo berkata Majlis Pengakap Sarawak ditubuhkan di negeri ini pada 1913.

“Tahun ini adalah genap 100 tahun Pengakap bertapak di negeri ini dan kita meraikannya sempena Hari Pengakap Sedunia.

“Sempena sambutan itu, kita akan mengadakan perhimpunan di Pintu Gerbang Sibu di mana seluruh ahli Pengakap negeri ini akan berkumpul di sini pada 25 Ogos ini,” katanya pada sidang media di sini Selasa lalu.

Menurutnya, Hari Pengakap Sedunia 2013 bagi peringkat negeri ini akan disempurnakan oleh Yang Dipertua Majlis Pengakap Negeri Sarawak Tan Sri William Mawan Ikom yang juga Menteri Pembangunan Sosial.

Turut hadir pada majlis itu Pengerusi Majlis Pengakap Sibu yang juga penaung jawatankuasa penganjur Tan Sri Datuk Sir Tiong Hiew King.

“Sempena sambutan itu kami mengadakan pertandingan melukis dan mewarna logo Pengakap Malaysia dan hanya terbuka kepada ahli-ahli Pengakap sahaja.

“Apa yang penting, para ahli-ahli juga akan mendengar perutusan daripada ketua Pengakap Negara oleh pemimpin Pengakap kita,” katanya.