Jumlah pelajar disleksia masih kecil

0

CENDERAMATA DARI SARAWAK: Fatimah menyampaikan cenderamata penghargaan kepada Persad (tengah) sambil disaksikan Ong (kiri) selepas majlis penutupan bengkel tentang disleksia di IPG Kampus Batu Lintang, Kuching, semalam.

KUCHING: Jumlah pelajar sekolah menengah dan rendah yang disahkan disleksia (masalah pembelajaran) di negeri ini masih pada skala kecil jika dilihat dari segi populasi keseluruhan pelajar di Sarawak.

Menteri Kebajikan, Wa-nita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata, bagai-manapun beliau percaya masih ada ramai pelajar atau murid yang terjejas akibat masalah berkenaan belum dikenal pasti.

“Menurut statistik terkini Jabatan Pelajaran Negeri sehingga 30 Jun 2012, 96 pelajar sekolah menengah dan murid  sekolah rendah di seluruh negeri ini disahkan disleksia.

“Daripada jumlah itu 81 adalah murid sekolah rendah yang terdiri daripada 55 lelaki dan 26 perempuan sementara 15 pelajar sekolah menengah (10 lelaki dan lima perempuan).

“Bagaimanapun ia adalah satu kadar kecil jika diban-dingkan dengan populasi pelajar seluruh negeri,” kata-nya.

Beliau yang juga penasihat Persatuan Disleksia Sarawak (DASwk) berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan Bengkel ‘Dyslexia and Co-Morbid Conditions’ yang dihadiri Presiden DASwk Dr Ong Puay Hoon dan Pengarah Pembangunan Bahasa dan Literasi Michigan University Amerika Syarikat Profesor Madya Dr Carol Persad di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Batu Lintang di sini, semalam.

Tambah Fatimah, negara ini adalah amat bernasib baik kerana dapat mempelajari model daripada Amerika Syarikat mengenai pemeriksaan, diagnosis dan intervensi bagi masalah pembelajaran terutama disleksia.

Kata beliau di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan, Program Transformasi Kerajaan (GTP) menyasarkan untuk membasmi masalah pelajar tercicir disebabkan kegagalan pelajar untuk menangani pengajian atau pendidikan arus perdana.

“Menurut Talent Corpo-ration Malaysia Berhad, daripada 500,000 pelajar yang mendaftar di tahun satu di sekolah awam setiap tahun, antara tahun 2000 dan 2010, 8,000 meninggalkan sistem pendidikan sebelum menamatkan pengajian mereka di tahun enam.

“Sementara daripada jumlah keseluruhan 400,000 pelajar yang mendaftar di tingkatan satu, kira-kira 44,000 dijangka akan me-ninggalkan sekolah setiap tahun sebelum menamatkan tingkatan lima atau Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.

Justeru tambah beliau, keciciran itu amat membimbangkan kerana pelajar yang tercicir tidak akan dilengkapi dengan baik untuk pekerjaan pilihan mereka dan salah satu sebab keciciran yang membimbangkan itu adalah ramai pelajar tidak berminat, hilang motivasi dan terdedah kepada tekanan juvana.

Mengulas mengenai bengkel yang diadakan itu katanya, ia menandakan satu lagi pencapaian kerjasama antara DASwk bersama agensi luar negara, yang merupakan sebahagian daripada Memperkasakan Perkongsian Bagi Program Komuniti Inklusif yang dibiayai Biro Hal Ehwal Kebudayaan dan Pendidikan Amerika Syarikat.

“Program memperkasakan perkongsian ini adalah program pertukaran antara Amerika dan Sarawak dan ia juga menyediakan peruntukan kecil kepada rakan usaha sama bagi menyiapkan projek untuk memperkayakan kehidupan individu dengan disleksia,” katanya.

Sementara itu Ong dalam ucapannya berkata, DASwk amat bersemangat untuk menjalin kerjasama dengan agensi dalam dan luar negara bagi memperkasakan masalah pembelajaran terutama di kalangan kanak-kanak.

“Ia khususnya masalah pembelajaran, iaitu disleksia atau masalah-masalah pembelajaran lain.

“Bengkel ini merupakan pertama kali diadakan di negeri ini dan kami amat menekankan tentang kepen-tingan literasi kerana ia adalah kunci utama untuk mengubah kemiskinan,” katanya.