Kaum Cina masih enggan sertai TLDM

0

PELAWA: Ling (tiga kiri) bersama Ibrahim (tiga kanan) serta ahli-ahli PBTLDM dan PVTMS ketika sidang media, semalam.

Yang Dipertua PBTLDM Negeri Sarawak Thomas Ling Kui Eng masih tidak tahu sebabnya

SIBU: Yang Dipertua Persatuan Bekas Tentera Laut Diraja Malaysia (PBTLDM) Negeri Sarawak Thomas Ling Kui Eng tidak faham mengapa kaum Cina di negeri ini masih enggan menyertai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Menurut Ling, beliau sebagai seorang masyarakat Cina juga tidak faham mengapa semua itu boleh berlaku.

“Saya tidak faham mengapa kaum Cina tidak mahu menyertai TLDM. Sampai sekarang saya tidak tahu sebabnya. Saya sendiri sebagai orang Cina juga tidak faham.

“Apakah kerana susah atau mereka takut susah. Saya amat menggalakkan kaum Cina untuk menyertai TLDM,” ujarnya kepada pemberita pada sidang media di sini, semalam.

Hadir sama pengurus Perbadanan Hal Ehwal Angkatan Tentera (PERHEBAT) Wilayah Sabah Sarawak Mejar (B) Ibrahim Omar serta ahli-ahli PBTLDM yang lain.

Menurut Presiden Persatuan Veteran Tentera Malaysia Negeri Sarawak (PVTMS) itu, kerjaya bersama TLDM memberikan pulangan yang amat baik lebih-lebih lagi dengan gaji permulaan melebihi RM1,000 sebulan.

“Masa menjalani latihan pun mereka akan memperolehi elaun hampir RM1,000. Mengapa mereka tidak berminat sedangkan gaji yang ditawarkan amat baik selain pelbagai keistimewaan yang diberikan secara percuma,” jelasnya.

Beliau juga memberitahu, mereka boleh memilih tempoh perkhidmatan daripada 10, 13, 15, 18, 21 atau 28 tahun, iaitu sehingga mereka berumur 50 tahun.

“Pencen yang diterima oleh anggota yang menamatkan perkhidmatan mereka juga boleh melebihi RM3,000 sebulan,” kata Ling sambil menambah mereka juga akan menikmati pelbagai faedah yang disediakan oleh kerajaan selepas bersara.

Dalam pada itu katanya, TLDM kini sedang dalam proses merekrut anggota baharu bagi pelbagai pangkat untuk lelaki dan wanita dalam pelbagai bidang kepakaran serta cawangan.

Pemohon katanya, hendaklah mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, selain keutamaan diberikan kepada pemohon yang mempunyai kepujian dalam mata pelajaran Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris.

“Pemohon juga hendaklah berumur antara 18 hingga 23 tahun, selain sihat tubuh dan tidak cacat anggota. Pemohon juga hendaklah mempunyai penglihatan yang terang dan jelas tanpa cermin mata serta tidak rabun warna,” jelasnya.

Bagi yang berminat menyertai TLDM, borang permohonan boleh diperolehi secara online di laman sesawang www.jobsmalaysia.gov.my. Tarikh tutup permohonan adalah pada 31 Ogos ini.