Kestabilan PBB lebih penting, kata Awang Tengah

0

TAKLIMAT: Awang Tengah (tiga kiri) mendengar penjelasan daripada pihak kontraktor berhubung pembinaan Jambatan Pandaruan, sambil ditemani Hasbi (dua kiri) dan Dr Rahman (dua kanan) petang kelmarin.

LIMBANG: Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mahu PBB terus kukuh, mantap dan  stabil sebagai tulang belakang bagi meneruskan perjuangan dan pemerintahan negeri ini seperti yang diutamakan pemimpin parti menjelang Konvensyen PBB yang dijadualkan pada Oktober akan datang.

Beliau yang belum membuat sebarang keputusan sama ada mengekalkan jawatan yang dipegangnya sekarang berharap parti itu terus relevan dalam membawa kesejahteraan kepada rakyat, negeri dan negara ini.

“Saya tidak mementingkan sangat tentang kedudukan dalam parti, apa yang diutamakan sebagaimana pemimpin PBB lain adalah parti akan terus kukuh, stabil dan menjadi tulang belakang dalam pemerintahan negeri ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada lawatan kerja ke Jambatan Pandaruan petang kelmarin.

Turut hadir  Ahli Parlimen Limbang  Hasbi Habibollah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail, Setiausaha Politik Ketua Menteri Kolonel (B) Awangku Jamuddin Pengiran Kon, wakil Residen Limbang Selamat Jati dan yang lainnya.

Awang Tengah yang juga Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua berkata PBB akan  terus menjadi teras kepada usaha meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat negeri dan negara kita.

“Perjuangan parti lebih penting berbanding kedudukan dalam parti dan adalah menjadi harapan kita agar parti terus mantap, subur dan akan menjadi tulang belakang dalam usaha meningkatkan pembangunan negeri,” katanya.

Konvensyen PBB dijangka diadakan pada 18 hingga 20 Oktober di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

Mengulas mengenai pembinaan Jambatan Pandaruan, beliau memberitahu bahawa jambatan tersebut sudah mencapai peringkat 98.6 peratus pembinaan.

“Melihat kepada pembinaan jambatan yang sedang rancak ini, ia akan siap sebelum penghujung Oktober ini berdasarkan prestasi terbaik pihak kontraktor  yang dilantik untuk membina jambatan dan jalan penghubung,” jelasnya.

Beliau berkata lagi pembinaan jambatan harus dilihat secara keseluruhannya termasuk pembinaan jalan penghubung di sebelah Brunei yang dilaksanakan oleh pihak kontraktor berasingan.

“Kontraktor juga sedang memastikan kelancaran dari segi pelaksanaan projek, bukan sahaja jambatan tetapi jalan penghubung,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan untuk menjalinkan kerjasama dengan Brunei khususnya dalam melanjutkan tempoh masa di sempadan katanya perkara tersebut  boleh dibincangkan kemudian.

“Selain itu kerja pembaikan akan dilakukan oleh kedua-dua pihak di Pos Kawalan Imigresen masing-masing,”ujarnya.

Dalam pada itu beliau turut menolak ura-ura yang  menyatakan bahawa pengguna jambatan akan dikenakan perkhidmatan tol.

Perkara tersebut katanya tidak dibincang, memandangkan projek berkenaan merupakan projek kerajaan yang ditanggung sebahagiannya oleh Kerajaan Brunei dan Malaysia dan bukannya dibuat oleh pihak swasta.

Awang Tengah menjelaskan bahawa kerajaan melaksana projek bukan semata-mata untuk memudahkan perhubungan dan pergerakan  penggunan jalan itu sendiri.