Tindakan tegas akan diambil terhadap pihak bertanggungjawab: SPAD

0

KUALA LUMPUR: Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, tindakan susulan dan tegas akan diambil terhadap pihak bertanggungjawab yang menyebabkan kematian 37 orang dalam kemalangan bas di jalan Genting Highlands kelmarin.

Beliau berkata tindakan akan dikenakan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 sekiranya terdapat bukti pelanggaran akta itu.

“SPAD memandang serius tragedi kemalangan dan menyokong cadangan Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) untuk menubuhkan jawatankuasa penyiasatan khas bagi menyiasat secara terperinci punca kemalangan itu,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Syed Hamid berkata, SPAD akan bekerjasama dengan semua agensi berkaitan untuk mengenal pasti punca kemalangan dan langkah pencegahan supaya tragedi sedemikian dapat dielak pada masa hadapan.

Selain itu, tumpuan lebih khusus akan diberikan kepada audit keselamatan terhadap pengendali bas henti-henti dan ekspres, katanya.

Kemalangan di KM3.5 Jalan Genting Highlands itu meragut 37 nyawa termasuk pemandu bas apabila bas yang dinaiki 53 orang itu terjunam 60 meter ke dalam gaung semasa menuruni jalan curam dari puncak pusat peranginan itu ke ibu negara.

Syed Hamid turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam nahas itu.

Sementara itu anggota Majlis Keselamatan Jalan Raya Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye meminta mereka yang terlibat dalam industri pengangkutan agar menunjukkan keazaman dan kesungguhan untuk menghentikan ‘kematian beramai-ramai’ di jalan raya di negara ini. — Bernama