Jogaton landasan terbaik pelajar menunjukkan bakat

0

SIBU: Larian jogaton tahunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tung Hua merupakan landasan terbaik bagi para pelajar sekolah tersebut menunjukkan bakat mereka dalam bidang sukan.

Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah SMK Tung Hua, Vincent Lau Lee Ming berkata larian itu juga sejajar dengan dasar Satu Murid Satu Sukan Kementerian Pelajaran Malaysia.

“Selain itu, pelajar juga mendapat manfaat dari segi fisikal dan psikologi dengan penyertaan serta ketika berlatih bagi menyertai larian jogaton ini,” katanya ketika merasmikan Larian Merdeka dan Jogathon SMK Tung Hua, di sini semalam.

Aktiviti tahunan ini dianjurkan bersama oleh SMK Tung Hua bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah disertai lebih 400 orang peserta terdiri daripada pelajar dan ibu bapa.

Hadir sama ialah Kapitan Wong Sing Mee, Pengetua Sekolah Ling Chai Ping, Pengerusi PIBG Eric Chiu Ing Siong, Presiden Persatuan Bekas Pelajar Teresa Wong, pengerusi penganjur larian, Noorihal Muhammad serta yang lain.

Menurut Lau, apabila seseorang pelajar itu cerdas dari segi fizikal dan mental mereka akan lebih bertenaga serta berupaya untuk menjalankan semua tugasan yang diberikan.

Di samping itu katanya, apabila pelajar ini berlatih secara berkumpulan, mereka berpeluang untuk berjumpa dengan lebih ramai orang dan mendapat rakan baharu.

“Ini sekali gus menguatkan hubungan dikalangan pelajar dan membantu membentuk komuniti yang lebih bersatu dan harmoni di sekolah,” jelas beliau.

Larian itu bertujuan menambah dana bagi membiayai program pembangunan sekolah serta menjaga kebajikan pelajar.