Monday, August 19

Piala Borneo landasan penting1819

0

TUNJUK BAKAT: Abang Johari membelah papan sebagai simbolik perasmian Kejohanan Taekwondo Antarabangsa (WTF) Piala Borneo 2013 sambil disaksikan Mohd Salleh (tiga kanan) dan Tan (kiri) di Kuching semalam.

KUCHING: Kejohanan Taekwondo Antarabangsa (WTF) Piala Borneo merupakan landasan penting bagi atlet-atlet negara mengasah bakat serta menimba seberapa banyak pengalaman mereka ketika bersaing dengan atlet-atlet bertaraf dunia dari negara lain.

Menteri Perumahan dan Pelancongan, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata sukan taekwondo memainkan peranan penting dalam membina hubungan baik serta mempromosi perpaduan di kalangan atlet dari negara lain yang turut serta.

“Kita mengharapkan kejohanan dunia seperti ini dapat membantu menarik minat lebih ramai penyertaan atlet luar negara terutamanya dari Sarawak dan Sabah dalam sukan taekwondo, “ katanya ketika menyempurnakan perasmian kejohanan itu di Stadium Perpaduan Negeri, di sini semalam.

Beliau merangkap penaung kejohanan gembira dengan penyertaan yang amat menggalakkan dari negara-negara lain terhadap kejohanan tersebut.

Katanya, ini akan memberi impak positif terhadap perkembangan sukan tersebut sekali gus membantu melahirkan lebih ramai atlet taekwondo bertaraf dunia dalam negara.

Lebih 250 atlet dari 11 buah negara termasuk Malaysia berkampung selama dua hari di sini untuk menyertai Kejohanan Taekwondo Antarabangsa (WTF) Piala Borneo 2013 yang disingkap tirainya semalam.

Kejohanan itu dianjurkan oleh Persatuan Taekwondo Sarawak (PTNS) dengan sokongan Persatuan Taekwondo Malaysia (PTM).

Hadir sama Presiden PTNS WTF, Mohd Salleh Sani dan Pengerusi Teknikal Taekwondo Sarawak, Tan Check Joon.

Abang Johari turut mengajak atlet-atlet luar negara yang menyertai kejohanan itu dapat merasai keindahan alam semula jadi serta budaya yang ada di negeri ini.

Antara negara yang terlibat pada kejohanan itu ialah Malaysia, Thailand, Vietnam, Laos, Kemboja, Hong Kong, Brunei, Australia, Filipina, Iran dan Indonesia.

Kategori yang dipertandingkan adalah individu, berpasangan dan berpasukan lelaki dan wanita bagi peringkat umur bawah 13, 17, 29, 49 dan atas 50 tahun.