Persatuan Ragbi Miri komited lahirkan bakat baharu

0

MIRI: Persatuan Ragbi Bahagian Miri komited untuk mengasah lebih banyak bakatbakat baharu terutamanya golongan wanita untuk mencecuri sukan lasak terbabit.

Setiausaha Persatuan Ragbi Bahagian Miri, Sylvia Alexander berkata setakat ini lebih 80 orang telah menyertai persatuan itu disebabkan minat terhadap sukan lasak terbabit.

“Kita akan mengadakan pelbagai program bagi mendidik dan mengasah bakatbakat baharu dalam sukan ragbi dan pencarian bagi atlet ragbi wanita juga akan diberi keutamaan,” katanya.

Silvia menjelaskan, pihaknya telah mengadakan Kursus Kejurulatihan Ragbi dengan anjuran bersama Kelab Ragbi Bintulu yang berakhir semalam.

“Kita telah mengadakan kursus ini selama dua hari dengan melibatkan 20 orang peserta masing-masing melibatkan guru-guru dan pelajar.

“Matlamat asal kita ialah untuk mempromosikan sukan lasak ini di kalangan pelajar supaya ia menjadi sukan popular setanding dengan sukan-sukan lain di Miri,” jelasnya.

Beliau memberitahu, kursus terbabit telah dikendalikan oleh dua fasilitator dari Lembaga Persatuan Ragbi Antarabangsa dengan mengajar teknik asas sukan ragbi.

“Harapan kita ialah selepas kesemua peserta menamatkan kursus ini, mereka akan kembali ke sekolah masing-masing dan mengajar semula ilmu mereka untuk pelajar lain,” katanya.

Dalam masa sama, beliau percaya sukan ragbi terbabit akan menarik lebih banyak penyertaan bukan sahaja daripada atlet lelaki tetapi juga wanita.