Jentera pilihan raya Parlimen Limbang terbukti mantap, kata Hasbi

0

LIMBANG: Jentera pilihan raya kawasan Parlimen Limbang yang dilantik bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu merupakan satu-satunya pasukan yang mantap dan berkebolehan menangkis serangan   pembangkang sekali gus menjadi penentu kemenangan Barisan Nasional (BN).

Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah berkata jentera pilihan raya berjaya membawa transformasi cemerlang yang mencakupi pelbagai aspek termasuk struktur jentera pilihan raya itu sendiri mengadapi PRU13.

Beliau yang juga ketua PBB Cawangan Batu Danau menjelaskan, setiap jentera bergerak sebagai pasukan terbaik menghadapi serangan pembangkang serta cabaran getir sepanjang tempoh berkempen khususnya menangkis fitnah dan tohmahan yang timbul sepanjang pilihan raya itu.

“Inilah jentera pilihan raya yang terbaik setakat ini kerana mereka berjaya membuktikan keupayaan dan kekuatan untuk menghadapi apa juga cabaran sehingga membawa kemenangan kepada BN,” katanya pada Majlis Ramah-tamah Aidilfitri dan Kesyukuran Kemenangan BN pada pilihan raya lalu di Dewan Suarah Limbang, di sini malam kelmarin.

Progran anjuran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Bukit Kota dan Batu Danau itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota merangkap Ketua Cawangan PBB Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Setiausaha Politik Ketua Menteri Kolonel (B) Awangku Jamuddin Pengiran Kon, Residen Bahagian Limbang Maria Hasman, Ketua Pemuda PBB Bukit Kota Sufian Mohat dan jemputan lain.

Hasbi berkata jentera turut melakukan persiapan rapi dengan menghadiri pelbagai kursus dan latihan dalam usaha memantapkan  kemahiran dan kemampuan mereka.

Selain itu, jelasnya program pilihan raya sudah dilaksanakan lebih awal sejak pertengahan tahun lalu dalam usaha mendekati rakyat selain menyalurkan maklumat kepada rakyat.

“Kita sudah mengenal pasti logistik dan tugas pilihan raya lain lebih awal malah program pilihan raya juga diperhalusi, selain persiapan rapi dilaksanakan bagi berdepan tentangan hebat pembangkang sepanjang pilihan raya lalu.

“Kita mahu kekuatan jentera BN diteruskan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri akan datang dalam memastikan BN kekal sebagai pemerintah di negeri ini,” katanya.