JKR Sarawak akan segera baiki jambatan runtuh

0

PERLU DIBAIKI: Jambatan yang menghubungkan Kampung Ensengei di Sadong Jaya runtuh disebabkan treler.

KUCHING: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak akan mengambil tindakan segera bagi membaik pulih jambatan yang menghubungkan Kampung Ensengei di Sadong Jaya yang runtuh pada Sabtu lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata perkara itu telah dilaporkan kepada JKR supaya jambatan tersebut segara dibaiki.

“Kita telah melaporkan insiden ini kepada JKR dan pihak mereka memaklumkan bahawa tindakan segera akan diambil bagi mengatasi masalah tersebut,” katanya menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai insiden jambatan runtuh yang berlaku di Sadong Jaya pada 24 Ogos lalu yang menyebabkan gangguan sistem perhubungan jalan raya di situ.

Jambatan itu runtuh disebabkan lebih bebanan kerana dilalui treler yang sedang membawa jengkaut sekali gus menyebabkan treler berkenaan terhumban ke dalam sungai.

Disebabkan insiden itu, penduduk terpaksa meninggalkan kenderaan mereka kerana jambatan tersebut tidak lagi dapat dilalui kenderaan.

“Kami  terpaksa berjalan kaki untuk menyeberangi sungai ini kerana keadaan jambatan tidak lagi selamat untuk dilalui menggunakan kenderaan.

“Justeru, kami berharap kerajaan mengambil tindakan segera kerana jambatan ini penghubung kami di sini,” kata salah seorang penduduk di kawasan terjejas yang enggan disiarkan namanya.